Blogger Templates

Followers

Saturday, February 12, 2011

Kira-kira jam 6.40 pagi hari Khamis, Hana menerima panggilan daripada ibunya. "Yong, atuk dah tak ada."



Hana terdiam,terkaku. Nafasnya terhenti. Sungguh kehilangan ini sangat tak terduga. Bagai guruh berdentum dan kilat sabung menyabung di sekelilingnya pada waktu itu.

"Innalillahiwainnailaihirajiun". Hanya itu yang meniti di bibirnya. Air mata jatuh berguguran.

Hatinya meronta-ronta ingin pulang. Namun, seandainya dia pulang, hanya kuburan sahaja yang dapat dilihat. Masa berlalu tanpa sempat menunggunya dan memberi dia peluang menatap wajah arwah untuk kali yang terakhir. Hana sayu lagi.



Semua kenangan silam menerpa fikiran. Budi bahasa dan jasa atuk takkan pernah dia lupakan. Al-Fatihah dan doa dikirim buat atuk yang telah selamat disemadikan.

Berbekal kekuatan yang masih bersisa, Hana gagahkah diri pergi ke kuliah keesokan harinya. Senyuman tetap diukir agar tak nampak duka di hati. Namun, hati tak mampu menipu. Ketika pensyarah sedang bercakap di hadapan kelas, fikirannya melayang mengenangkan arwah atuk. Pertemuan sebulan yang lalu rupa-rupanya pertemuan yang terakhir. Masih terngiang-ngiang suaranya di telinga Hana. Atuk bertanya bagaimana dia balik ke IPG Kampus BM yang terletak di Kuala Lumpur. Dia tersenyum sambil menjawab, " Yong naik KTM, tuk. Turun di KL Sentral. Pastu ambil LRT ke Stesen Universiti."

Air matanya gugur lagi. Kian laju dan membasahi bajunya. Senyuman atuk juga masih segar dalam ingatan. Sungguh, atuk amat baik dan murah dengan senyuman. Sepanjang umurnya yang menjangkau 21 tahun, tak pernah sekalipun dia dimarahi oleh atuk. Bahkan setiap kali atuk membuat lemang, dia dan angah berkejaran mahu membantu atuk membuat lemang. Hidup di rumah atuk juga memberi dia peluang merasai keenakan buah koko mentah. Setiap kali atuk ke kedai, pasti ada saja jajan yang dibeli. Hana tersedu-sedu menahan hiba. Kian tak tertanggung kesyahduan ini.

Bulan Disember lalu, adikknya telah berkhatan. Atuk bermalam di rumahnya selama 2 malam. Di pagi hari alang mahu ke hospital untuk berkhatan, atuk menyarungkan alang dengan sehelai kain pelikat pemberiannya. Terharunya hati Hana sebagai kakak kepada Alang. Atuk yang tiada pertalian darah, menganggap dia adik-beradik seperti cucunya sendiri. Ketika alang tidur di ruang tamu selepas berkhatan, atuk juga turut serta berbaring di sebelah alang. Hana dapat melihat dengan jelas kasih sayang atuk kepada Alang. Tiada pengganti untuk atuk. Memang tiada pengganti.

Memori 13 tahun lalu menggamit hati Hana. Masih terbayang saat atuk menjemputnya balik dari TADIKA. Saban hari begitu. Ibu dan ayah bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang. Oleh itu, dia akan tinggal bersama atuk sehingga waktu bekerja ibu dan ayah tamat. Teringat kemesraaan makan tengah hari bersama atuk dan wan. Terbayang juga wajah atuk yang kerap berbual dan tidak jemu melayan kerenah Hana dan angah. Petang pula, pasti kami minum petang bersama sementara ibu menjemput Hana dan angah untuk pulang ke rumah.

Air mata masih juga belum mahu berhenti. Masih mengalir laju. "Ya Allah, tempatkanlah atukku di kalangan orang-orang beriman dan soleh. Sungguh, aku redha dengan pemergiannya. Terima kasih YA Allah kerana telah menganugerahkanku seorang atuk yang baik. Amiiinnn."

Hana menamatkan coretan hatinya sampai di sini sahaja. Jarinya tak mampu menaip lagi. Hatinya makin sayu. Dia cuba mencari ketenangan. Mahu jadi tabah kerana tidak baik meratapi kematian. Hana mencuba sedaya upaya. InsyaAllah.
Read more... www.tips-fb.com

Monday, February 7, 2011

Bismillah..

Manusia..manusia..

Sememangnya manusia dianugerahi pelbagai ragam oleh penciptanya. Kita tidak mengetahui apa yang berada dalam fikiran orang lain hatta untuk mengkaji bagaimana langit diciptakan adalah tidak tercapai oleh kemampuan akal untuk memikirkannya.


Sememangnya manusia penuh dengan variasi. Variasi itu menjadikan manusia itu unik. Keunikan itu juga yang membuat manusia berhubung. Ukhwah. Ya. Ukhwah itu amat penting. Walaupun manusia itu pelbagai, namun ukhwahlah yang menyatukan kita semua.



Bila berkata tentang keunikan dan kepelbagaian ragam manusia juga, kita menyedari bahawa pastinya manusia mempunyai pelbagai bentuk pemikiran. Ketidaksamaan pemikiran kadangkala menyebabkan perselisihan faham. Namun, percayalah. Setiap perselisihan faham itu boleh diselesaikan dan yang paling penting cegahlah ia sebelum berlaku. Bagaimana caranya? Sulamilah ukhwah dengan tolak ansur, kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain. Sekiranya semua orang mahu memperjuangkan pendapat masing-masing, pastinya persepakatan tidak akan terhasil. Justeru, ada masanya kita perlu menerima pendapat orang lain. Kita perlu mengakui bahawa bukan setiap pendapat kita merupakan pendapat yang bernas. Sekiranya semua pihak menjaga ukhwah ini dengan baik, hubungan harmoni dapat diwujudkan. InsyaAllah.



Namun, perlu kita fahami bahawa sikap memaafkan itu amat mulia. Sekiranya berlaku sebarang pergaduhan dan perselisihan faham, jernihkan ia dengan bermaaf-maafan. Lupakahlah apa yang pernah terjadi. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Sesungguhnya perbuatan memaafkan dapat menenangkan hati dan menghapuskan bara dendam yang terpendam. Sedarilah bahawa syaitan bergembira atas setiap perselisihan faham yang berlaku kerana syaitan tidak pernah letih daripada tipu muslihat untuk menyesatkan anak-anak Adam. Oleh itu, jangan biarkan diri kita leka dengan hasutan iblis laknatullah. Wallahua'lam.


Read more... www.tips-fb.com

Bismillah..

Waktu sentiasa berlalu. Sedikit pun tidak menunggu kita. Manusia itu sering alpa. Leka dengan dunia. Hakikatnya usia semakin pendek. Detik untuk pergi meninggalkan dunia untuk bertemu Yang Maha Esa juga setia menunggu. Tiada siapa mampu menangguhkan mahupun mempercepatkan detik roh berpisah daripada jasad. Astaghfirullahalazim..Istighfarlah. Kesalahan itu tidak asing daripada insan yang bernama manusia. Apatah lagi kita adalah khalifah yang Allah ciptakan untuk memakmurkan alam semesta. Namun, adakah kita menunaikan kewajipan itu dengan sebaik mungkin? Tepuk dada, tanya iman.

Realiti dunia hari ini semakin menampakkan dunia yang semakin sakit. Sakit yang teramat dasyat. Bukalah mata. Lihatlah senario hari ini. Gejala sosial yang semakin menular amat membimbangkan. Adakah ini generasi yang bakal meneraju negara? Adakah ini generasi yang bakal memperjuangkan agama Islam nanti?

Bagaimanakah ini semua dapat diatasi mahupun dicegah? Semua pihak perlulah memainkan peranan. Jangan hanya menuding jari. Jangan bersikap" ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing". Sikap menjaga tepi kain orang sebenarnya amat wajar dilaksanakan pada hari ini. Jika semua pihak ingin buat tak tahu, siapa lagi yang akan menggalas tanggungjawab menegakkan beban dakwah? Fikirkanlah.

Bangkitlah. Buka fikiran. Majukan diri. Tepis rintangan yang datang dengan bijak dan matang. Wallahua'lam.


Read more... www.tips-fb.com

Saturday, February 5, 2011

Bismillah..




Sungguh, diri ini merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang masih memberi ana peluang untuk terus bernafas di atas muka bumi. Hari ini curahan rasa yang ingin ana coretkan ialah berkaitan keazaman. Sedar atau tidak, azam itu penting. Apabila adanya keazaman, barulah kita melihat apakah target dalam setiap yang kita lakukan. Namun, jangan terlupa pada tunjang utama iaitu niat kerana Allah. Sekiranya tidak berniat kerana Allah, maka tiada ganjaran pahala pun yang mengiringi. Selaras dengan hadith yang berikut yang menyatakan betapa pentingnya niat kita.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
Oleh itu, rancang apa yang ingin dicapai. Rancang strategi yang sesuai untuk meraih matlamatmu. Pastikan jalan yang dipilih dalam mencapai keinginnanmu adalah jalan yang benar. Berusahalah sebaik mungkin dan bertawakkal kepada-Nya. Sekiranya kita masih tidak berjaya memperoleh matlamat tersebut, maka yakinlah bahawa Allah sebenarnya mahu menganugerahkan yang lebih baik daripada itu. Dalam pada masa yang sama, berusahalah tanpa berputus asa. Sesungguhnya Allah tidak suka golongan yang mudah berputus asa.








Wallahua'lam.

Read more... www.tips-fb.com