Blogger Templates

Followers

Thursday, August 9, 2012

Hasbunallah Wa Nikmal Wakil

 

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, hari yang sangat tenang. Nak tarik nafas dalam-dalam. Nak hayati keindahan alam sementara masih ada waktu.

Bosan menaip assignment, stop sekejap. Santai-santai tengok blog. Nak kongsi kehebatan kalimah Hasbunallah Wa Nikmal Wakil. Nak tahu tak? Jom!! ^__^

Bacaan hasbalah ni dibaca oleh Rasulullah S.A.W. ketika dikepung selama beberapa minggu oleh pasukan Ahzab dalam peristiwa peperangan Khandaq di Madinah. Akhirnya, tentera Islam beroleh kemenangan. Kisah ini juga diselitkan dalam Qalamullah menerusi ayat 173 surah Ali-Imran yang bermaksud : "Iaitu orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan, 'Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka'. Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, 'Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung'."



 
Satu lagi kisah kehebatan kalimah Hasbunallah Wa Nikmal Wakil tersingkap menerusi kisah Nabi Ibrahim A.S.. Ingat lagi tak kisah Nabi Ibrahim yang dicampakkan ke dalam api? Mesti ingat kan? Pada ketika itu, pengikut Raja Namrud melemparkan Nabi Ibrahim ke dalam api yang sedang marak dan menjulang-julang tinggi. Namun, Nabi Ibrahim kelihatan amat tenang dan membaca doa. Kalimah Hasbunallah Wa Nikmal Wakil mengakhiri doa baginda. Keajaiban berlaku. Dengan Kuasa Allah S.W.T., api menjadi dingin. Ketika Nabi Ibrahim mula dicampak ke dalam api yang panas, Jibril datang dan bertanya, " Apakah engkau memerlukan aku?" Nabi Ibrahim menjawab, " Kepadamu tidak, tetapi kepada Allah ya." Allah berfirman dalam ayat 69 surah Al-Anbiya' : "Kami berfirman, 'Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim'."

Kalimah hasbalah diucapkan oleh Aisyah R.A.. ketika kisah bohong (haditsul ifqi) tentang dirinya tersebar. Aisyah mengharapkan pertolongan Allah semata-mata.  



Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan kalimah hasbalah ini memberi kekuatan ketika berhadapan dengan ujian mahupun dengan fitnah yang amat berat. Allah sajalah tempat bergantung harap. Allah sebaik-baik pelindung. Allah sebaik-baik pembela.



 




Read more... www.tips-fb.com

Wednesday, August 8, 2012

Damai Di Hati

Bismillah..

18 Ramadhan 1433 H

Pagi ni agak jammed nak ke sekolah. Ada kemalangan berlaku. Moga orang itu baik-baik sahaja. Aku hanya mampu melihat kelibat ambulans yang berulang-alik ke tempat kejadian. 

Sudah masuk minggu ketiga aku berada di Hulu Langat. Menjalani praktikum yang mengambil tempoh dua bulan. Sudah tiga minggu juga Hulu Langat memberikan aku DAMAI DI HATI. Subhanallah.

Benar atau tidak, adakalanya apabila masalah datang menerpa apatah lagi bertubi-tubi, berhijrah sementara ke tempat lain sememangnya memberikan satu ketenangan. Menatap keindahan tumbuhan hijau, kabus putih dan dinginnya bumi Hulu Langat ibarat memberi nafas baharu padaku.

Hakikatnya, aku tidak tahu apa yang sedang Allah aturkan untukku. Pasti ada hikmahnya. Ya, mungkin saja aku masih belum nampak. Di situlah pengharapan seorang hamba kepada penciptanya benar-benar diuji. Aku selalu mengatakan 'tawakaltua'lallah'. Tawakal kepada Allah. Tapi, bila dilanda kesulitan adakah benar-benar aku meletakkan harapan kepada Allah?  Ya Allah, adakah aku ini seorang yang cakap tak serupa bikin?

Bila hati perit, bila hati pilu, bila hati luka..adakah Allah sengaja campakkan aku dalam kepayahan?
Bila gembira, ceria, bahagia,..adakah Allah mahu tenggelamkan aku dalam kelalaian yang maha dasyat?

Memang tepat dengan dengan firman Allah dalam kalam suci-Nya yang berbunyi "Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir." - Surah Al-Ma'aarij: Ayat 19


Bila Allah uji, mulalah tanya " Kenapa aku? Apa dosa aku?"
Bila Allah beri nikmat, mulalah lupa daripada landasan Allah.

Aku hamba-Nya. Jadi, memang selayaknya aku diuji. Dalam kepayahan, aku belajar erti perhatian Allah. Dalam kepayahan, aku belajar erti sabar. Dalam kepayahan, aku belajar erti tabah. Dalam kepayahan, aku belajar erti air mata. Dalam kepayahan, aku belajar erti syukur. Dalam kepayahan, aku belajar erti kehidupan. Terima kasih, Allah. Terima kasih.

Pandangan mata sekali lagi aku lontarkan jauh-jauh. Menjamah pemandangan yang terlalu luas. Menghirup udara yang Allah jadikan dengan begitu unik. Aku tak mahu bersikap keluh kesah. Aku tak mahu. 

Memang manusia itu lemah. Ya, aku memang manusia yang lemah. Yang tidak punya apa-apa. Biar aku jatuh beribu kali, takkan pernah aku berhenti untuk berdiri semula. Ya, itu azam aku!! 

I'm always moving forward. Biiznillah. Amin Ya Rabb.

Read more... www.tips-fb.com

Wednesday, July 25, 2012



MUJAHADAH itu PAHIT kerana SYURGA itu MANIS 

Jauh-jauh nafas ditarik. Sang mata asyik menatap indahnya alam ciptaan Ilahi. Manik-manik hujan berbangga membasahi bumi Ilahi. Subhanallah.

Rasa pilu mencucuk hati. Ya, rasa pilu. Pilu yang teramat sangat. Terasa diri yang dahulunya galak berlari kini tersungkur jatuh ke bumi. Ya Allah, lemahnya aku saat ini. Terasa bagai hidup tak bermakna lagi.

Bagai ada batu besar yang menghempap diri. Tidak keruan. Ada rasa yang menerjah pintu hati. Ya, ada rasa. Rasa yang tak mampu untuk diungkapkan. Perit. Amat perit. Bagai hilang separuh jiwa untuk melepaskan sesuatu yang amat disayangi. " Ya Allah..." hanya itu yang terlintas di hati.

Akur. Akur pada takdir. Akur pada apa yang tertulis dalam kisah perjalanan hidupku. Akur dengan apa yang perlu dilepaskan walaupun hakikatnya amat payah untuk dilakukan. Nafas ditarik panjang-panjang. Mahu menikmati nafas yang Allah berikan. Mahu sahaja masa dihentikan. Mahu sahaja masa diundur ke belakang. Mahu sahaja langkah diatur semula.

Saat ini, payah benar untuk bangkit. Saat ini, semuanya mahu diungkit. Saat ini, hati bagai dicarik-carik. Sungguh. Bagaimana hancurnya kertas yang dicarik-carik, hancur lagi sekeping hati yang menelan rasa yang amat pahit.




Satu perkataan yang terbayang di minda. MUJAHADAH!! Ya, MUJAHADAH!! Kalau kita mahu berubah, ubahlah dengan bersungguh-sungguh. Mana mungkin ajaran Islam kita ikuti separuh-separuh sahaja? Tak mungkin.

Aku mahu berubah. Berubah ke arah kebaikan. Jadi, untuk apa aku toleh ke belakang? Memang payah untuk melepaskan apa yang kita sayangi apatah lagi insan yang kita cintai. Perit. Sakit. Pilu. Hanya Allah yang tahu.

Aku yakin, pasti ada hikmahnya. Mungkin belum terlihat tapi kelak pasti terlihat kemanisannya. Aku berkorban saat ini demi mendapatkan yang halal untukku. Aku mahu menjaga diri hanya untuk Rabb-ku. Mendapatkan cinta yang halal yang mendekatkan aku pada-Nya. Aku mahu menyempurnakan agamaku dengan cara yang halal bukan cinta nafsu yang hanya menjadikanku khayal.

Ya Allah, aku pasti tiba saatnya nanti pasti akan ada sesuatu untukku. Dekatkanlah aku pada-Mu Ya Allah. Izinkanlah aku meraih cinta dan perhatian-Mu. Anugerahkan aku zauj yang mampu menjadi imamku dan anak-anakku. Anugerahkan aku zauj yang menerima kekuranganku sebagai ruang untuknya melengkapkanku. Anugerahkan aku zauj yang membawa aku ke jalan-Mu, Ya Allah. Amin.

Saat ini aku gunakan untuk mempersiapkan diri. Aku mahu baiki diri. Mahu menjadi pendamping buat sang mujahid yang mempertahankan kalimat Allah. Mahu menjadi mujahidah yang mewangi dalam jalan juang mujahid Ilahi.

Ya Allah, tiba saatnya nanti, Kau temukanlah kami dalam jalan redha-Mu. Ya Allah, tiba saatnya nanti Kau satukanlah hati ini dalam ikatan yang suci. Ya Allah, tiba saatnya nanti, Kau anugerahkanlah kami mujahid dan mujahidah kecil yang akan menyambung perjuangan kami.

InsyaAllah, aku membaiki diri sambil menanti. Menanti mujahid yang akan datang menjemputku nanti menjadi yang halal untuknya. 

Sabar menanti..........









Read more... www.tips-fb.com

Wednesday, February 22, 2012

Hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan adakalanya disirami air mata dan juga darah. Itu yang Hamka katakan. Ya, memang benar hidup ini bukan mudah. Perjalanan sepanjang kehidupan bukanlah ditaburi bunga mewangi sebaliknya penuh ranjau berduri. Seringkali hitungan langkah yang salah membuatkan tapak kaki berdarah tertusuk duri yang tajam.

Kadangkala ujian yang datang tu teramat berat sehingga rasa putus asa. Tak mampu nak kira air mata yang menitik. Bahu yang terhingut-higut menahan sebak dan sayu pun sudah lali. Lemahnya diri. Rasa mahu tersembam ke bumi. Bagai dah sampai ke hujung jalan mati. Ya Allah, lemahnya aku. Aku dah tak mampu lagi, Ya Allah.

Ada saatnya segala kekuatan yang kita ada selama ini hancur lebur begitu sahaja dek ujian yang datang. Nampak seperti orang yang sentiasa bermotivasi, tapi kalah juga akhirnya. Sentiasa memberi semangat kepada orang sekeliling, tapi rebah juga motivasi diri sendiri. Acapkali air mata menemani saat berdialog dengan Allah. Pernah terfikir tentang ujian yang tak jemu bertandang. Kadangkali cemburu melihat orang lain kelihatan gembira. "Aku dah penat. Aku dah letih. Aku tak mampu. Aku juga insan biasa yang lemah." Itu bisikan dalam hati. Makin laju air mata mengalir. Sesak nafas. Sempit dada. Ya, itu hakikat apabila tiba saatnya dugaan yang datang bertubi-tubi menerjah kekuatan diri. 

Tapi sedarkah kita, Allah sedang menguji kita? Allah sebenarnya memberi perhatian-Nya kepada kita? Allah sayang akan kita. Sebab itu DIA uji kita supaya kita tak lupa diri, tak kufur nikmat, tak lupa tujuan asal usul penciptaan manusia. Ya, pujuk diri. Istighfar banyak-banyak. Alhamdulillah, aku diuji. Terima kasih, Allah. Terima kasih kerana Engkau sayang kepada aku. Engkau uji aku supaya aku tak leka dengan dunia sementara sedangkan akhirat itu yang kekal abadi. 

Aku juga ingin bahagia, Allah. Aku juga ingin bergelak tawa seperti kawan-kawan lain. Tapi, aku sering dikunjungi dugaan dan air mata. Aku tidak minta Engkau permudahkan urusanku, Ya Allah. Aku cuma mohon Engkau anugerahkan aku kekuatan agar aku mampu meneruskan langkahku di muka bumi ini. Biarlah tak mampu meneruskan langkah dengan berlari, berjalan, merangkak sekalipun. Mengesot pun sudah mencukupi asalkan aku mampu teruskan langkah setiap hari. Ya Allah, aku tahu Kau sedang mendengar luahan rasa sekeping hati yang tidak pernah lekang daripada duka lara ini. Aku tahu Kau sedang memandangku dengan kasih sayang, Ya Allah. Aku mohon, Ya Allah. Anugerahkan aku kekuatan. Aku mahu terus melangkah sebagai hamba-Mu yang senitasa bersyukur atas apa jua yang Engkau berikan padaku. Amin Ya Rabb. 

Setitik demi setitik air mata menitik jatuh menimpa telekung putih. Ya, biarlah basah. Biarlah Allah sahaja yang tahu duka di hati. Biarlah Allah sahaja yang tahu betapa aku inginkan sesuatu itu dengan cara yang diredhai-Nya. Aku mahu yang diredhai, bukan yang dimurkai. Aku mahu yang halal, bukan yang haram. Aku mahu kebahagiaan abadi, bukan kebahagiaan sementara. 

Longlai sungguh tubuh ini. Rasa tak berdaya. Lemah benar. Tapi, aku takkan putus asa. asti ada jalan yang Allah sediakan untukku. Aku yakin. Aku suka benar dengan ayat ini: 

Bismillahirahmanirahim..

♥ Betapa ALLAH selalu ingin membahagiakan kita
Disetiap keadaan dan kegundahan kita
Seolah-olah IA mengingatkan, "Laa tai'asuu min rauhillah"
TENANGLAH,TEGUHLAH dan OPTIMISLAH
Kerana di penghujung setiap malam,ada pagi yg cerah
Di sebalik setiap bukit,ada taman yg indah
Di sebalik batu yg besar,ada mata air yg sejuk
Setelah perjalanan jauh,ada sungai yg mengalir dan
Setelah kelelahan,ada tempat berehat yg nyaman
Setelah kesedihan ada kebahagiaan
Setelah perjuangan ada buah ranum yg siap dipetik



Air mata segera kukesat. Tak mahu ia terus mengalir. Aku mahu terus memandang ke hadapan wwalaupun acapkali aku kalah. Biarlah aku kalah berkali-kali asalkan aku tak pernah mengalah. Ya, aku tak mahu mengalah. Dugaan yang hadir itu aku gunakan untuk mematangkan diri. 




Kenapa tiba-tiba ada gambar bunga dalam post kali ni? Haaaa..inilah bunga anthurium atau dengan nama lain yang aku cipta sendiri iaitu ASPIRASI HATI. Bunga anthurium ni bunga yang mencetus semangat untuk aku. Kenapa? Sebab, walaupun panas terik dan ribut kencang, tulang daunnya tetap menonjol, tak pernah turun ke bawah. Itulah aku. Walau dugaan datang, mahu terus kuat menempuh apa jua yang mendatang. Go! Go! Aspirasi hati! 

Sentiasa kusematkan di hati bahawa :

~kadangkala kita perlu menyepi untuk mencari kembali kekuatan diri yang hilang.
Adakalanya kita perlu menyepi untuk mencari ketenangan hati.
Adakalanya perlu menyepi untuk kebaikan sendiri.
Adakalanya sepi itu indah, bersepi-sepilah dengan DIA.
Ceritakan segalanya yang buat hatimu gundah~~~ ^^


Salam mujahadah keada semua. (*peringatan untuk diriku juga)


Read more... www.tips-fb.com

Saturday, February 4, 2012



KALORI adalah unit ukuran tenaga diukur sebagai kcal. Kita perlukan tenaga untuk hidup seperti bernafas, jantung mengepam darah ke seluruhan badan, bergerak dan lain – lain aktiviti. Tenaga ini di dapati dari makanan yang kita makan..KALORI DALAM MAKANAN ANDA.



Pakar pemakanan menegaskan bahawa setiap manusia memerlukan sekitar 4000 Kalori sehari untuk mendapatkan nutrisi yang lengkap dan diperlukan badan seharian. Jumllah 4000 kalori adalah tidak banyak sebenarnya.. Secara amnya juga, kalori dibakar/digunakan oleh orang lelaki adalah sebanyak 2000 Kalori sahaja, manakala 1800 kalori untuk Wanita. Selebihya, iaitu 2000 kalori akan pergi pada sel-sel badan.

Berikut adalah maklumat ringkas berkenaan Kalori makanan... ingat, untuk badan yang sihat, jangan sekali-kali melebihi 4000 Kalori..

Kategori: Kuih Muih






1. Kuih berkelapa parut (sekeping) = 160 kalori

2. Kuih lapis (sekeping) = 130 kalori

3. Bingka ubi (sekeping) = 220 kalori

4. Cekodok Pisang (sebiji sederhana) = 180 kalori

5. Popia goreng (satu) = 130 kalori

6. Popia basah (satu) = 95 kalori

7. Pisang goreng (sekeping) = 170 kalori

8. Kek biasa tanpa krim (sepotong) = 87 kalori

9. Karipap (sebiji) = 130 kalori

10. Sandwich sardin (sekeping) = 70 kalori

11. Bubur kacang (semangkuk) = 100 kalori




Kategori: Lauk Pauk





1. Ikan kembong kari berkuah (seekor) = 85 kalori

2. Ikan tenggiri goreng bercili (sepotong) = 142 kalori

3. Ikan kembong goreng (seekor) = 140 kalori

4. Ikan senangin masam manis berkuah (sepotong) = 210 kalori

5. Daging lembu kari berkuah (2 kotak mancis) = 130 kalori

6. Ayam kari berkuah (sepotong) = 250 kalori

7. Ayam goreng (sepotong) = 255 kalori

8. Ayam tandoori (sepotong) = 220 kalori

9. Sambal udang (setengah cawan) = 70 kalori

10. Sambal sotong (setengah cawan) = 55 kalori

11. Telor goreng (sebiji) = 110 kalori

12. Taukua goreng (sekeping) = 110 kalori

13. Kacang panggang dalam tin (2 sudu makan) = 40 kalori




Kategori: Makanan Rutin



1. Nasi putih (satu setengah cawan) = 260 kalori

2. Nasi lemak bersambal (sepinggan) = 400 kalori

3. Nasi goreng bertelur (sepinggan) = 635 kalori

4. Nasi briyani berayam (sepinggan) = 880 kalori

5. Nasi minyak kosong (sepinggan) = 445 kalori

6. Nasi ayam kosong (sepinggan) = 300 kalori

7. Mee goreng kosong (sepinggan) = 660 kalori

8. Mee sup (semangkuk) = 380 kalori

9. Mee hoon goreng (sepinggan) = 550 kalori

10. Roti putih (2 keping) = 156 kalori

11. Roti canai kosong tanpa kuah (sekeping) = 200 kalori

12. Capati tanpa kuah (sekeping) = 180 kalori

13. Pau ayam (sebiji) = 203 kalori

14. Emping jagung kosong (secawan) =160 kalori




Kategori: Makanan Segera 




1. Peha ayam goreng (satu) = 130 kalori

2. Nugget ayam (satu) = 60 kalori

3. Kentang lecek (satu tub kecil) = 90 kalori

4. Sayur kobis hancur (satu tub) = 75 kalori

5. Burger keju (satu) = 425 kalori

6. Kentang goreng (satu kantung kecil) = 405 kalori

7. Sate ayam (secucuk) = 35 kalori

8. Pizza berkeju (sepotong) = 240 kalori





Kategori: Buah-buahan

1. Tembikai (sepotong) = 20 kalori

2. Betik (sepotong) = 45 kalori

3. Pisang emas (2 biji) = 76 kalori

4. Durian (5 ulas) = 64 kalori

5. Limau (sebiji) = 42 kalori

6. Jambu batu (sebiji) = 110 kalori

7. Nenas (sepotong) = 59 kalori

8. Epal (sebiji) = 63 kalori

9. Ciku (sebiji) = 44 kalori

10. Mangga (sebiji) = 103 kalori




Kategori: Minuman



1.minuman berkabonat 1 tin 285g = 120 kal

2.minuman kotak 250g = 105 kal

3.susu tepung penuh krim 1 sudu makan = 33 kal

4.susu tepungtanpa lemak 1 sudu makan = 25 kal

5.aiskrim 2 skop= 390 kal

6.susu pekat manis 1 sudu makan = 71 kal

7.yogurt rendah lemak 1 cawan = 90 kal

8.mentega 2 sudu teh = 75 kal

9.keju chedar 1 keping =58 kal




Read more... www.tips-fb.com

Saturday, October 22, 2011

Bismillah..

Usai solat subuh 22 Oktober 2011, ana menggosok baju untuk pergi ke HIMPUN. Kemudian, duduk menaip sedikit perkongsian yang ana rasa amat perlu untuk diluahkan di blog ini. 



Kita sebagai manusia sememangnya lemah. Tiada satu pun yang kita miliki melainkan hanya pinjaman semata-mata daripada Allah S.W.T.. Kita mengetahui bahawa Allah yang menciptakan kita. Bila ditimpa kesusahan, perit benar rasa hati ini. Rasa payah. Rasa terbeban. Rasa tiada upaya untuk terus mara ke hadapan. Bila ditimpa musibah, adakah kita lebih mendekatkan diri kepada Allah atau sebaliknya? Ana bagi satu contoh. Seorang gadis clash dengan kekasihnya. Berjurai-jurai air mata mengalir menangisi apa yang terjadi. Namun, cuba teliti sedalam-dalamnya. Beruntunglah gadis tersebut kerana Allah mahu memberinya kasih sayang-Nya yang lebih agung. Kerana apa? Cuba bayangkan kalau gadis itu terus terleka dengan kekasih hatinya, seluruh jiwa untuk kekasih, matanya memandang wajah kekasih yang bukan mahramnya, telinga mendengar kata-kata romantis sang kekasih, mulut sibuk mengucapkan kata-kata cinta untuk lelaki yang bukan suaminya, tangan dan kaki laju melangkah ke shopping complex, taman bunga. Untuk apa? Untuk dating dengan kekasih hati yang dipuja. Apabila clash, dirasakan dunia gelap gelita. Salah tanggapan itu. Salah sangat-sangat.


Itu sebenarnya peluang untuk si gadis lebih mendekatkan diri kepada Allah. Setiap hari, kita dating dengan Allah lima kali. Tapi, kenapa kita masih lagi mensia-siakan cinta-Nya? Padahal Dialah yang Maha Berkuasa. Setiap kali solat, kita mengucap dua kalimah syahadah. Mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah. Tetapi bila diteliti semula, kita lebih mengagungkan cinta manusia. Cinta yang boleh datang dan pergi semudah kelipan mata. Kunci hati manusia dalam kuasa Allah. Justeru, bila rasa sakit, letih, sedih, carilah Allah Tuhan Yang Esa. Tapi, janganlah pula bila sedih je mengadu dan ingat Allah. Kita perlu mengingati Allah dalam setiap keadaan. Bahkan, mendapat pahala jika kita sentiasa mengingati Allah. Niatkan setiap apa yang lakukan kerana Allah. Malah, kalau kita melakukan sesuatu tanpa niat kerana Allah, kita tidak mendapat apa-apa pun. 


Jadi, apabila kita diuji, yakinlah bahawa Allah sedang memilih kita untuk merasai hebatnya cinta-Nya. Jangan asyik kata "Kenapa aku je yang selalu ditimpa kesusahan?" Sebaliknya redhalah dengan ujian. Dekatkan diri dengan Allah. Jangan pula bila dah clash, si gadis sibuk mencari kekasih hati yang baru. Salah tu. Jika itulah jalan yang dipilih, rugilah gadis tersebut. Kekasih hati memang boleh ditukar ganti tetapi cinta Allah tidak ada galang gantinya. Itulah cinta teragung. Mendekati Allah membuat jiwa tenang. Mengingati Allah membuat hati lapang. Meraih cinta Allah itu satu kemenangan. 


Fitrah manusia lebih menyayangi sesuatu yang dilihat berbanding sesuatu yang abstrak. Kita lebih cinta akan ibu bapa, adik-beradik, kekasih, sahabat. Tetapi tertanya-tanya "Bagaimana aku nak merasai cinta Allah? Susah rasanya kerana aku tak nampak di mana Allah." Ya, memang kita tak melihat Allah tetapi kehadiran-Nya dapat dirasai. Cuba kita kata kita boleh melihat angin. Sudah pasti tak logik kan? Tapi dapatkah kita menafikan bahawa kehadiran angin dapat kita rasakan? Buktinya, apabila angin bertiup, kita melihat baju kita bergerak mengikut arah angin, pipi terasa sejuk dan nyaman. Nah, itulah buktinya angin itu wujud. Allah juga tak dapat dilihat tetapi dapat dirasa kewujudan-Nya. Lihat saja ciptaan-Nya Yang Maha Luas. Laut terbentang luas, gunung-ganang yang tinggi, awan yang berarak pergi, hujan yang turun membawa rahmat dan macam-macam lagi. Subhanallah. Masihkah kita mampu untuk mengatakan kita sukar mencintai Allah? Ana mengingatkan diri ana dan para pembaca untuk sama-sama kita kembali kepada tujuan asal penciptaan kita di muka bumi ini. Wallahua'lam.






Read more... www.tips-fb.com

Harapan muslimah buat bakal zauj yang dirahsiakan Allah :

Wahai seseorang yang telah tertulis dalam lauhul mahfudz, imam ku dan ayah dari anak-anakku, engkau yang akan bersama melalui perjalananku nanti...

Aku percaya kau sedang memperbaiki dirimu, melayakkan dirimu untuk menjadi imam bagi tulang rusukmu dan buah hatimu kelak.

Aku percaya kau sedang menempah dirimu dalam beribu dugaan dengan meletakkankan dirimu sendiri pada medan dakwah dan masalah ummah... Mencampakkan jauh egomu, membaktikan dirimu untuk ummah.

Aku percaya kau sedang mengkaji, kau sedang belajar, belajar ilmu dunia dan ilmu akhirat, yang akan kau gunakan dalam mendidikku dan buah hati kita nanti.

Aku percaya Al-Qur'an selalu ada dalam hatimu, selalu terucap dari bibirmu dan zikir selalu terlafaz menemani langkah jihadmu.

Aku percaya kau sedang menundukkan pandanganmu, menjaga hatimu dan mencampakkan hawa nafsumu.

Aku percaya kau sudah merancang hidupmu, hidup kita, keluarga kita, nantinya juga untuk dakwah, untuk ummat, dan hanya keranaNya.

Aku percaya, kau sedang melayakkan diri dan terus memperbaiki diri disana, di belahan bumi manapun kau berada.

Dan harapan wanita kepada dirinya sendiri :

Aku pun begitu sayang.

Aku sedang belajar, belajar menempah diri, menjauhkan egoku demi ummah, membaktikan diriku untuk orang lain,agar baktiku padamu juga sempurna.

Aku sedang belajar, meniti dakwahku, meniti cita-cita duniaku, meniti cita-cita akhiratku, agar kelak keluarga islami dan keluarga Qur’ani yang aku inginkan nanti dapat kubangun bersamamu.. Kerana kau tahu? Meskipun kau imamku, ibu adalah madrasah pertama bagi mujahidah kecilnya nanti.

Aku sedang belajar menjaga diri, menjaga pandangan dan hatiku, agar ketika kau memiliki hati ini, hati ini masih utuh sempurna hanya untukmu.

Aku sedang menempah diri, untuk menjadi seorang Khadijah untukmu, yang menjadi tempatmu mengadu resah.. Seseorang yang kau datang padanya, saat kau tak tahu lagi akan datang pada siapa.. Seseorang yang menguatkanmu dan menggenggam selalu tanganmu dalam perjalanan jihadmu.

Aku pun ingin menjadi ‘Aisyahmu, seorang yang membuatmu tersenyum dan kembali ceria saat penatmu mulai datang, seorang yang menyerap ilmu darimu dengan sempurna dan membenarkan apa-apa yang salah dalam lakumu, seseorang yang mencintaimu dengan cemburunya, namun kau rasakan sakitnya, saat ia tersakiti, hingga kau katakan pada yang lain “Janganlah kau sakiti aku dengan cara menyakti ‘Aisyah”.

Aku ingin menjadi Fatimah, yang tak kau bagi cintamu pada yang lain.. Bukan kerana aku tak percaya kau tidak dapat berlaku adil, tapi kerana aku ingin mencintaimu dengan sempurna, tanpa diganggu oleh cemburuku, itu saja.

Tak kalah lagi, aku ingin menjadi seperti Hajar, yang tak gentar saat kau tinggalkan di padang pasir tandus dengan seorang bayi dipelukan. Tak takut akan kehilanganmu, kerana keyakinanku pada Rabbku lebih besar daripada yakinku padamu, cintaku padamu tak akan mengalahkan cintaku pada Rabbku. Usahaku ini tidak mudah sayang, begitupun usahamu. Ku yakin itu, maka tetaplah dalam jihadmu. Tetaplah dalam usahamu. Tetaplah dalam ikthiarmu. Aku yakin kau kuat disana, dan doakanlah agar aku juga kuat di sini dalam jihad dan ikhtiarku, bawalah aku dalam tiap doa dan sujudmu, ku mohon kerana doa yang dapat menolongku hingga saatnya, kita bertemu dalam ikatan suci menyempurnakan separuh deen dan kita akan melanjutkan jihad kita bersama dan nanti, terimalah aku apa adanya jika aku belum dapat menjadi Khadijahmu, ‘Aisyahmu atau bahkan menjadi seperti Hajar tetapi bimbinglah aku menjadi seperti mereka dan kita bimbing bersama mujahid muda kita nanti untuk melanjutkan perjuangan dakwah ini..

Khas untukmu yang ada disana, kuatlah. Dan bersabarlah, bawalah aku dalam doa dan sujudmu, agar cinta kita nanti, hanya keranaNya. Aamiin...




dipetik dari:
facebook seorang teman..
Read more... www.tips-fb.com