Blogger Templates

Followers

Monday, May 10, 2010

Memperbaiki diri adalah kewajipan yang pertama. Orang yang mengenali dirinya akan mengenali penciptanya. Segalanya yang ada pada manusia hanyalah pinjaman semata-mata dan harus diakui bahawa tiada satu pun di muka bumi ini adalah milik manusia. Hatta, kerdipan mata, pendengaran, hidung yang bernafas, detik nadi yang berdenyut, jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh, pergerakan sendi, regangan otot, nikmat hidup berkeluarga, mempunyai ayah, ibu, adik-beradik, rakan-rakan, suami, isteri, nikmat tubuh badan yang sihat, harta benda dan pelbagai lagi nikmat yang hadir adalah di bawah keizinan Ilahi. Cuba renungkan sejenak, adakah kita bersyukur dengan semua nikmat ini? Apakah kita menghargai setiap pinjaman nikmat ini dengan cara yang betul? Adakah kita menggunakannya untuk tujuan yang berfaedah? Apakah penggunaan nikmat yang dikurnia Ilahi melalui saluran yang betul dan bukannya disalurkan ke jalan yang salah?

Ayat ke 110 dalam surah Ali Imran yang bermaksud ''Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman namun kebanyakan mereka adalah orang yang fasik.

Menerusi ayat di atas, jelas terbukti bahawa manusia ini adalah sebaik-baik kejadian. Namun, mengapa kita masih lagi berada di takuk lama? Ayuh! Kita atur langkah, kita laksana strategi dan lakukan anjakan paradigma. Mengapa?? Mengapa ana menyeru umat manusia melakukan revolusi perubahan? Sedarlah wahai umat manusia bahawa batas kesempatan hidup ini tidaklah lama. Entah bila kita akan dijemput menghadap Ilahi. Apakah bekalan telah disediakan secukupnya? Lupakah kita bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara. Di dunialah tempat kita menabur benih dan di akhiratlah tempat kita menuai hasilnya. Mahukah kita terima buku amalan dengan tangan kiri dan muka kehitaman di akhirat nanti? Nauzubillah..

Ana selitkan sedikit ungkapan daripada murabbiah tersayang.

Demi Allah,
harimu sekarang adalah hari di mana harus berkumpul bekal untuk akhiratmu baik ke syurga atau ke neraka.
Jika kau menuju Allah, nescaya kamu akan mendapat kebahagiaan dan keberuntungan yang besar dalam waktu singkat yang tidak abadi ini.
Tetapi, jika engkau mahukan syahwat, kesenangan dan main-main, nescaya engkau akan mendapat kepahitan yang abadi.
Lihatlah dari dunia apa yang baik untuk jiwamu lalu ambillah meskipun orang di sekitarmu menganggapnya jelik.
Dan lihatlah dari dunia ini apa yang buruk bagi jiwamu lalu tinggalkanlah walaupun orang-orang di sekitarmu menganggapnya baik.

Apakah sebenarnya yang perlu dimuhasabah? Ana memfokuskan kepada 3 perkara iaitu ibadah yang sahih, akhlak yang baik dan sakhofatul fikr (pendidikan fikiran). Dari aspek ibadah yang sahih, seorang muslim perlu meluaskan pemikiran. Hal ini kerana ibadah bukan hanya tertumpu kepada solat, puasa, berzakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan tetapi merangkumi setiap amalan yang dilakukan. Hatta pergi menuntut ilmu dan berziarah merupakan ibadah. Tambahan pula jika dimulakan dengan perkataan basmalah. Sebaik-baik perbuatan ialah perbuatan yang dimulakan dengan basmalah. Dan niat yang tersemat di hati adalah penting bagi setiap amalan. Hal ini kerana setiap yang dilakukan itu bermula dengan niat. Sekiranya berniat baik, akan dapatlah ganjaran yang baik dan sekiranya berniat buruk, maka dapatlah ganjaran yang buruk setimpal dengan niat. Aspek kedua akhlak yang teguh. Akhlak merupakan salah satu perkara penting yang perlu ditekankan kepada setiap individu. Apakah kita mempunyai akhlak yang baik ama ada dari segi pandangan, percakapan mahupun tindakan? Aspek ketiga pula ialah sekhofatul fikr iaitu pendidikan fikiran.Menerusi pendidikan fikiran, ada tiga perkara yang perlu dititikberatkan. Pertama, pengenalan yang lurus dan sempurna tentang Islam dan perlu mengetahui suasana serta keadaan dunia Islam dahulu dan sekarang. Kedua, mengenali musuh Islam dan mengetahui cara serta tindak tanduk mereka. Sekiranya pengamatan yang baik dapat dilakukan, maka seorang muslim itu mampu mengetahui perkara yang berlaku dan mempengaruhi orang Islam dari jauh mahupun dekat untuk sama-sama mengelak daripada terjerumus dalam agenda musuh-musuh Islam dan sama-sama mengambil langkah yang bersesuaian. Aspek ketiga ialah mesti berusaha memperbaiki dan menguasai bidang profesional supaya mendapat tempat dalam masyarakat dan dapat mengisi tempat-tempat kosong tatkala membangunkan dan menegakkan daulah Islam.

Justeru, marilah kita memuhasabah diri. Lakukan perubahan. Bersegeralah dalam melakukan perubahan. Bersegeralah! Bersegeralah! Bersegera melakukan kebaikan! Seperti kata Imam Hasan Al-Basri yang menggesa seseorang itu bersegera sekiranya mahu melakukan kebaikan. Mengapa perlu bersegera melakukan kebaikan? Kerana khuatir tidak sempat melakukan kebaikan itu apabila terhentinya desah nafas. Saat terhenti nafas, maka terputuslah amalanmu. Wallahua'lam.

www.tips-fb.com

No comments: