Titipan sedikit ilmu yang ana peroleh daripada buku berjudul Zero to Hero hasil karya Solikhin Abu Izzudin. Buku ini amanah daripada murabbiah kesayangan ana. Dia berpesan supaya ana mengkhatamkan buku ini. Ternyata apa yang dikatakan murabbiah tidak sia-sia. Banyak ilmu yang ana peroleh dan ingin ana kongsikan bersama.
Rasulullah SAW bersabda, " Setiap orang diciptakan menurut bakatnya masing-masing. " Orang lain berbeza dengan kita. Kerana Allah menciptakan manusia berbeza sesuai dengan keunikannya. " Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. " (Al-Hujurat:13)
Percaya atau tidak, ukhwah merupakan salah satu kemanisan nikmat pemberian Ilahi selain daripada nikmat iman dan islam yang dimiliki saat ini. Menerusi pertalian ukhwah, kita akan menerima keunikan orang lain. Caranya? Caranya ialah melalui taaruf (saling mengenal), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling memikul beban). Keunikan itu membuatkan Islam kaya. Ada Abu Bakar yang lembut, Umar yang keras dan tegas, uthman yang pemalu dan Ali yang berani. Mungkin kita sudah faham tetapi belum bagi orang lain. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dua perkara inilah yang menghasilkan keunikan. Oleh itu, hormatilah keunikan orang lain. Sekaligus hal ini akan mendewasakan kita.
Misalnya saat suami isteri diijab kabul. Awalnya tumbuh cinta kerana masing-masing mendambakan kelebihan pasangannya. Cinta kemudiannya berbunga dan tumbuh merekah. namun, hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Terpamerlah kekurangan pasangan masing-masing. Adakah akan kita mengaramkan bahtera yang sedang belayar di tengah lautan? Saat inilah sebenarnya kesedaran, kefahaman dan kesabaran amat diperlukan untuk menerima apa saja kekurangan pasangan dengan seadanya. Bahkan orang berfikiran positif berupaya mengubah kekurangan dan kelemahan untuk mendasyatkan potensi yang ada. Bukan menyalahkan atau menyesali. Kerana di sebalik kelemahan itu tersimpan kekuatan dasyat yang kadangkala terlepas pandang atau tidak disedari.
Hakikatnya, hidup itu unik. Lebih asyik, lebih indah dan lebih bahagia apabila setiap hari kita terusik untuk mencari keunikan-keunikan yang ada dalam diri kita mahupun orang lain seperti sahabat dan ahli keluarga. Positif memandang anugerah. Dwasa melihat realiti. Cerdas menangkap inspirasi. Amanah mengusung aspirasi. Dunia yang begitu luas jangan dipersempit dengan cara yang culas.
Ana ingin menyeru anda semua dan diri ana sendiri untuk belajar mengenali keunikan orang lain. Hal ini bertujuan agar kita lebih bermotivasi, lebih bersemangat dan bersyukur atas anugerah yang melimpah. Hadirkan inspirasi agar jiwa berseri. Umpamanya, ada seorang sahabat sejati yang ana sering jadikan sebagai inspirasi kerana sifat rasionalnya yang tinggi, sikap memahami diri ana, sifat tidak mudah marah apabila ana melakukan kesilapan dan menegur dengan baik serta sifat sabar yang sememangnya ingin ana contohi. Begitu juga dengan rakan sebilik yang ana jadikan contoh kerana sifatnya yang sering ceria walaupun badai melanda. Masih betah tersenyum walaupun menghadapi kesedihan dan sebagainya.
Ada sebuah kisah benar. Seorang ibu kerana jenuh, bosan dan kesal disibukkan dengan kerja rumah tangga yang begitu banyak, dia pergi begitu sahaja menaiki bas untuk pulang ke kampung halamannya. Dalam perjalanan, ibu ini menjumpai pelbagai ragam sikap manusia. Ibu membandingkan semua yang diperhatikannya dengan keluarganya selama ini. Maka dia pun bersyukur dan ternyata apa yang dihadapinya setiap hari belumlah seberapa. Masih lebih ringan jika dibandingkan dengan pemerhatiannya.
Bentuklah diri kita begitu, bangunkan keperibadian kita, lapisi jiwa kita, miliki keunikan dan hormat terhadap keunikan orang lain. Rasulullah pernah bersabda, " Seorang mukmin yang bergaul dengan banyak orang, lalu ia sabar dengan tindakan mereka yang menyakitkan, maka itu lebih baik daripada orang yang tidak pernah bergaul dengan orang banyak dan ia tidak mampu sabar dengan tindakan mereka yang menyakitkan." (HR Ahmad)
Walaupun dicaci oleh orang lain, tetapi masih tetap boleh bersabar dan mengatakan, " Kalau apa yang kamu katakan tentang diriku benar, semoga Allah mengampuniku. kalau apa yang kamu tuduhkan itu salah, semoga Allah mengampunimu dan merahmatimu." Itulah sikap dan nasihat salafus soleh, hormat terhadap keunikan orang lain dan mudah memaafkan kesalahan.
Apabila akidah, ibadah, akhlak dan keluarga diintegrasikan dalam sikap yang tepat, terbentuklah keperibadian muslim minimum. Yakni kesolehan peringkat dasar yang seharusnya ada. Kerana pahlwan berjaya harus mampu mengalahkan dirinya sebelum berjuang mengalahkan orang lain. " Seorang mujahid adalah orang yang berjuang melawan hawa nafsunya." Inilah perjuangan minimum yang menapak di tangga perjuangan membaiki diri.
Sunday, June 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment