Blogger Templates

Followers

Saturday, February 12, 2011

Kira-kira jam 6.40 pagi hari Khamis, Hana menerima panggilan daripada ibunya. "Yong, atuk dah tak ada."



Hana terdiam,terkaku. Nafasnya terhenti. Sungguh kehilangan ini sangat tak terduga. Bagai guruh berdentum dan kilat sabung menyabung di sekelilingnya pada waktu itu.

"Innalillahiwainnailaihirajiun". Hanya itu yang meniti di bibirnya. Air mata jatuh berguguran.

Hatinya meronta-ronta ingin pulang. Namun, seandainya dia pulang, hanya kuburan sahaja yang dapat dilihat. Masa berlalu tanpa sempat menunggunya dan memberi dia peluang menatap wajah arwah untuk kali yang terakhir. Hana sayu lagi.



Semua kenangan silam menerpa fikiran. Budi bahasa dan jasa atuk takkan pernah dia lupakan. Al-Fatihah dan doa dikirim buat atuk yang telah selamat disemadikan.

Berbekal kekuatan yang masih bersisa, Hana gagahkah diri pergi ke kuliah keesokan harinya. Senyuman tetap diukir agar tak nampak duka di hati. Namun, hati tak mampu menipu. Ketika pensyarah sedang bercakap di hadapan kelas, fikirannya melayang mengenangkan arwah atuk. Pertemuan sebulan yang lalu rupa-rupanya pertemuan yang terakhir. Masih terngiang-ngiang suaranya di telinga Hana. Atuk bertanya bagaimana dia balik ke IPG Kampus BM yang terletak di Kuala Lumpur. Dia tersenyum sambil menjawab, " Yong naik KTM, tuk. Turun di KL Sentral. Pastu ambil LRT ke Stesen Universiti."

Air matanya gugur lagi. Kian laju dan membasahi bajunya. Senyuman atuk juga masih segar dalam ingatan. Sungguh, atuk amat baik dan murah dengan senyuman. Sepanjang umurnya yang menjangkau 21 tahun, tak pernah sekalipun dia dimarahi oleh atuk. Bahkan setiap kali atuk membuat lemang, dia dan angah berkejaran mahu membantu atuk membuat lemang. Hidup di rumah atuk juga memberi dia peluang merasai keenakan buah koko mentah. Setiap kali atuk ke kedai, pasti ada saja jajan yang dibeli. Hana tersedu-sedu menahan hiba. Kian tak tertanggung kesyahduan ini.

Bulan Disember lalu, adikknya telah berkhatan. Atuk bermalam di rumahnya selama 2 malam. Di pagi hari alang mahu ke hospital untuk berkhatan, atuk menyarungkan alang dengan sehelai kain pelikat pemberiannya. Terharunya hati Hana sebagai kakak kepada Alang. Atuk yang tiada pertalian darah, menganggap dia adik-beradik seperti cucunya sendiri. Ketika alang tidur di ruang tamu selepas berkhatan, atuk juga turut serta berbaring di sebelah alang. Hana dapat melihat dengan jelas kasih sayang atuk kepada Alang. Tiada pengganti untuk atuk. Memang tiada pengganti.

Memori 13 tahun lalu menggamit hati Hana. Masih terbayang saat atuk menjemputnya balik dari TADIKA. Saban hari begitu. Ibu dan ayah bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang. Oleh itu, dia akan tinggal bersama atuk sehingga waktu bekerja ibu dan ayah tamat. Teringat kemesraaan makan tengah hari bersama atuk dan wan. Terbayang juga wajah atuk yang kerap berbual dan tidak jemu melayan kerenah Hana dan angah. Petang pula, pasti kami minum petang bersama sementara ibu menjemput Hana dan angah untuk pulang ke rumah.

Air mata masih juga belum mahu berhenti. Masih mengalir laju. "Ya Allah, tempatkanlah atukku di kalangan orang-orang beriman dan soleh. Sungguh, aku redha dengan pemergiannya. Terima kasih YA Allah kerana telah menganugerahkanku seorang atuk yang baik. Amiiinnn."

Hana menamatkan coretan hatinya sampai di sini sahaja. Jarinya tak mampu menaip lagi. Hatinya makin sayu. Dia cuba mencari ketenangan. Mahu jadi tabah kerana tidak baik meratapi kematian. Hana mencuba sedaya upaya. InsyaAllah.

www.tips-fb.com

No comments: