Blogger Templates

Followers

Friday, July 16, 2010


Antara ucapan Nabi Muhammad SAW di Padang Arafah ketika menunaikan ibadah haji terakhir (tahun 10 hijrah) ialah baginda meninggalkan pesanan kepada para suami:
"Ingatlah bahawa kaum hawa itu merupakan kejadian Allah yang bersifat lemah dan berada di sampingmu. Mereka tidak sekuat tenagamu. Kamu mengambil mereka untuk bersamamu sebagai suatu amanah daripada Tuhan dan mereka halal bagimu dengan kalimah Allah. Oleh yang demikian, takutlah kepada Allah dalam segala urusan yang berkaitan wanita. Terimalah wasiat ini untuk bergaul dengan baik bersama mereka."

Wujudnya persefahaman dalam hubungan suami isteri tidak bererti apa-apa sekiranya isteri tidak mengerjakan perintah agama seperti solat, menutup aurat dan sebagainya. Atau suami mendiamkan diri atau melenting apabila isteri cuba mengingatkannya supaya taat kepada perintah agama.

Suami isteri haruslah bekerjasama mendidik anak-anak supaya menjadi umat yang beriman, berakhlak, berkualiti, beruntung di dunia dan selamat di akhirat. Tanggungjawab besar bagi seorang suami sebagai pemimpin ialah menjaga dirinya dan keluarganya daripada api neraka seperti yang tercatat dalam ayat ke-6 surah At-Tahrim yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."

Berdosa besar apabila seseorang suami memberi nafkah kepada keluarga daripada sumber yang haram. Atau suami membiarkan isteri dalam keadaan jahil dan tidak mengetahui ilmu-ilmu fardhu ain. Suami wajib mengajar isterinya perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan orang perempuan seperti haid, nifas dan cara-cara mandi wajib dan sebagainya. Sekiranya suami tidak mampu (kerana dia tidak alim), maka hendaklah isterinya diajar oleh orang lain yang lebih alim. Rasulullah terlalu mengambil berat terhadap pendidikan dan penghayatan ilmu agama kepada orang perempuan kerana mereka adalah guru pertama dalam sesebuah keluarga.
Dalam memimpin isteri, suami dinasihatkan supaya bersabar dan redha. Sekiranya ada antara perangai isteri itu tidak disenangi, maka hendaklah redha dan berasa senang dengan perangai baiknya yang lain. Dalam Al-Quran menerusi ayat ke-19 dalam surah An-Nisa diterangkan bahawa mungkin kita tidak suka sesuatu sedangkan Allah memberikan banyak kebaikan dalamnya.Ini bermaksud, sekiranya seorang isteri berakhlak kurang baik, suami hendaklah menegurnya dan mengajar serta membimbingnya ke jalan yang lurus. Kesabaran dan kesungguhan dalam usaha-usaha ini merupakan tambahan pahala daripada Allah kepada suami tersebut.

www.tips-fb.com

No comments: