Blogger Templates

Followers

Saturday, July 24, 2010

Gadis itu termenung. Sorotan mata nun jauh menyoroti pemandangan alam kehijauan yang amat disukainya. Saat ini fikirannya cuba mencari ketenangan. Hatinya kuat mencari ketenangan. Jiwanya berbisik, " Mengapa aku ditakdirkan begini? Aku juga seorang manusia biasa. Manusia yang dihambat dengan fitrah naluri yang juga inginkan kasih sayang, cinta, pendamping dan juga rasa ingin mencintai serta menyayangi."

Fikirannya terus melayang. Teringat kenangan silam. Teringat bahawa dia juga pernah terjebak dalam kancah cinta remaja yang kononnya disangka betul. Namun, cinta itu telah ditinggalkannya. Dia sedar bahawa dia perlu bersandar pada Allah. Kepercayaan kepada-Nya membuatkan dia tegar meninggalkan cinta yang dikejar dahulu. Dia percaya, Allah telah mengaturkan segalanya untuk dirinya. Lantas, dia teringat ayat 216 dalam surah Al-Baqarah yang berbunyi "Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai seseuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah menetahui, sedang kamu tidak mengetahui." Lantas, dihela nafas satu persatu. Menghirup udara yang juga nikmat pemberian Allah pada makhluk ciptaan-Nya yang hidup.

Pandangan mata kian pudar. Tubir mata berair lagi. Kolam mata semakin sarat. Menunggu saat memuntahkan takungannya. Hatinya sebak. Dia teringat pada satu keratan artikel yang dibaca yang mana ada tercatat, "Wahai wanita solehah, jangan risau akan jodohmu kerana muslimin yang bijaksana takkan terpaut pada wanita hanya pada kecantikan, lirikan senyuman, pada bicara manja yang menggoda atau pada pujuk rayu seorang wanita yang meruntuhkan imannya. Telah tercatat seungkap nama lelaki di luhmahfuz untukmu. Cuma peribadinya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu. Jika kau tetap di atas jalan yang diredhai, insyaAllah si dia turut di jalan yang sama."

Akhirnya, air mata yang ditahan sejak tadi gugur ke bumi. Betapa dia merasakan dirinya khilaf. Banyak benar kesalahan yang dilakukan. Bercinta hingga lupa pada pencipta cinta yang sebenar iaitu Allah SWT. Istighfar meniti di bibir. "Ya Allah, terima kasih atas hidayah-Mu. Terima kasih kerana Engkau beri kekuatan padaku untuk meninggalkan cinta yang belum tiba masanya dan hakikatnya melekakan aku. Ampunkanku, Ya Allah. Aku terima kepahitan mujahadahku kali ini. Tegarkanlah aku untuk terus bertahan di jalan-Mu Ya Allah. Amin Ya Rabb.

Dia bingkas bangkit dari tempat duduknya menuju ke biliknya. Tubuhnyaya terhingut-hingut menahan rasa berdosa. Dicapai terjemahan kalam Allah dan dipeluk erat. Itu jugalah yang dilakukannya beberapa malam yang lepas. Mata yang mengantuk tak dapat dipejamkan. Hati mana yang tidak cemburu melihat orang lain berkasih sayang. Tapi, gadis ini tetap dengan pendiriannya. Biarlah ditahan dulu rasa cinta itu kerana belum tiba masanya. Itu cinta yang sementara. Apakah orang yang mereka sayangi itu sudah pasti menjadi suami atau isterinya? Dia yakin, Allah pasti menyediakannya dengan sesuatu yang terbaik. Oleh itu, tidak ada rasa takut meninggalkan cinta manusia kerana inilah jalan yang terbaik baginya. Lagipun, dia masih lagi seorang mahasisiwi. Banyak lagi tanggungjawabnya yang perlu dilaksanakan. Kesibukan antara kuliah, usrah dan dakwah membuatkannya terlupa seketika akan keperitan mujahadah yang dilalui.

Usai menangis, air mata dikesat. Langkah diatur menuju ke bilik air. Mengambil wudhuk yang dijadikan amalan. Alhamdulillah, tenang sedikit hatinya. Dia berdoa agar terus berada di jalan ini. Kerana dia yakin inilah yang terbaik baginya. Dan pasti Allah juga inginkan yang terbaik utntuknya kerana Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya. Senyuman diukir lantaran menyedari inilah tarbiyah daripada Allah.

www.tips-fb.com

No comments: