Blogger Templates

Followers

Monday, June 21, 2010



Maksud hadith:

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah.

Fungsi niat:

1) Menyempurnakan
Tanpa niat yang jelas, sesuatu amal itu tidak akan sempurna dan tidak bernilai di sisi Allah. Innamal a'malubinniyat,sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sempurnanya amal adalah dengan niat. Inilah yang menjadi dasar setiap amal. Jika kita perhatikan, niat termasuk dalam rukun setiap ibadah. Hal ini jelas menunjukkan pentingnya peranan niat dalam apa jua yang kita lakukan. Ketahuilah bahawa tiada ibadah tanpa niat. Ikhlas bermaksud membersihkan dan memurnikan sesuatu dari yang mengotorinya. Ikhlas ialah kita mahu keredhaan Allah semata-mata,dengan membersihkannya dari segala dosa mahupun duniawi.

2) Mengubah
Niat yang buruk akan mengubah sesuatu perbuatan itu menjadi buruk. Contohnya dalam bab bersedekah. Jika niat kita ikhlas bersedekah kerana Allah dan membantu golongan yang memerlukan, pasti ada kebaikan yang bakal diperoleh. namun, apabila niat bersedekah tadi hanyalah untuk emnunjuk-nunjuk dan niat tidak baik yang lain, maka gugurlah nilai bersedekah itu tadi. Kita juga perlu berniat untuk perkara baik. Tidak boleh berniat seperti sehaja aku menerima rasuah kerana Allah taala. Tidak boleh melakukan perkara buruk sebagai tujuan ibadah. Oleh itu, "al ghayah laa tubarriru al wasilah" tujuan yang baik tidak menghalalkan segala cara. Jadi tujuan baik harus dilakukan dengan cara yang baik juga. "Sesungguhnya Allah mewajibkan kebaikan ke atas segala sesuatu." (HR Muslim)

3) Menguatkan
Ketahuilah bahawa dengan niat, amal menjadi semakin kuat. Komitmen seseorang juga akan menjadi kukuh, motivasi terbakar hebat, badan yang lemah menjadi cergas, kesedihan menjadi kegembiraan, kemalasan ditolak ke tepi. Melalui ayat 159 dalam surah Ali Imran yang berbunyi "Jika kamu telah bulat tekadmu, maka bertawakkallah kepada Allah." Misalnya, seseorang itu pernah 'bercouple'. Pada mulanya dia gelisah. Risau, takut kekasihnya dirampas orang. Namun, apabila datang kekuratan, dia mahu berubah lantas meninggalkan kekasihnya itu. Kerana dia sedar bahawa jodoh untuknya telah tercatat sejak dia di Luhmahfuz lagi. Justeru, niatnya berubah kerana mencari keredhaan Allah dan menjauhkan diri daripada maksiat seterusnya disusuli dengan rasa bertawakkal kepada Allah. Dia juga sentiasa berdoa kepada Allah agar memberikannya jodoh yang soleh. Justeru, di saat hatinya tidak tenteram, teringat kepada bekas kekasihnya, diri bertambah kuat lantaran niat yang telah ada dalam hatinya. Niat kerana Allah. Niat menjauhi perkara yang tidak baik. Niat untuk menjaga hati dan diri daripada melakukan dosa. Kerana dia tahu manusia itu lemah. Maka, dia berusaha menjauhi perkara yang tidak baik dengan bersungguh-sungguh. Kerana dia tahu bahawa dunia ini adalah syurga untuk orang kafir dan penjara untuk orang mukmin. Oleh itu, dia bersabar mengharungi segalanya. Kerana dia yakin bahawa Allah sentiasa bersamanya.

4)Menjadikan
Niat yang buruk atau salah niat boleh menjadikan perbuatan halal menjadi haram. Sebagaimana kata Fudhail bin Iyadh, "Beramal kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amal kerana manusia adalah riya'. Dan keikhlasan adalah jika kamu selamat dari keduanya." Demikian juga boleh menjadikan amalan yang mubah menjadi ibadah. Contohnya, tidur itu mubah, apabila dilakukan dengan niat ibadah maka akan menjadi ibadah. Begitu indah agama Islam. Indah juga amalan yang terkandung dalam agama itu sendiri. Semuanya bergantung kepada niat. Justeru, setiap saat kita harus memperbaharui iman dan niat kita. Sabda Rasulullah SAW, "Maka perbaharuilah imanmu dengan laa ilaaha illallah."

5) Niat adalah roh kehidupan
Niat merupakan bukti kesedaran, tanda kehidupan dan ciri kemuliaan. Contohnya, jika kita akan berasa puas walaupun hanya melakukan pekerjaan yang kecil jika di awalnya tadi dimulai dengan niat yang baik dan ikhlas. Mengapa? Kerana kita tidak mengharapkan apa-apa kecuali keredhaan Allah. Tidak mengharapkan bayaran. Tidak mengharapkan pujian. Ingatlah sabda Rasulullah SAw yang bermaksud, "Barangsiapa mengajak kepada kebaikan, maka baginya pahala sebagaimana orang yang mengamalkannya." Roh merupakan faktore terpenting dalam segala hal sehingga sesuatu itu bermakna. Tanpa roh, tiada nilai. hakikatnya manusia tanpa roh itu adalah mayat. Adanya roh, maka adanya martabat seseorang itu. Bahkan bemesraan suami isteri sekalipun menjadi suatu ibadah kerana ada niatnya untuk beribadah, mengabdikan diri kepada Allah. Oleh itu, sejak awal, jadikanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan seluruh alam." (Al-An'am:162-163)

6) Membezakan
Niat membezakan antara ibadah dengan adat ataupun antara ibadah dengan sebarang aktiviti yang tiada nilainya tanpa niat ibadah. Kualiti amal akan jauh berkualiti jika disertai dengan niat ibadah. Zubaid Al Yamy berkata, "Sesungguhnya aku benar-benar suka jika ada niat dalam segala sesuatu, termasuk pula tatkala makan dan minum." Kata beliau juga, "Berniatlah dalam segala kebaikan yang engkau kehendaki, termasuk tatkala engkau ingin menyapu." Oleh itu, bezakan nikmat dan rasa apabila sesuatu amal itu dimuali dengan niat ibadah.

7) Mengesahkan
Ungkapan "innamal a'malu binniyat.." menurut Jumhur Ulama adalah "innama shihhatul a'mal" iaitu syarat sahnya sebuah amal, ibadah dan perbuatan bergantung kepada niatnya. Abu Hanifah pula menyataka "innamal a'malu binniyat" adalah "innamaa kamaalul a'mal" iaitu sempurnya amal dengan niat. Hadith ini memberikan penerangan bahawa setiap individu mempunyai niat dan kemahuan masing-masing. Ada yang berniat baik kerana Allah dan Rasul. Ada juga yang berniat kerana dunia ataupun berniat untuk mendapatkan kesenangan hidup.
"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon keredhaan-Mu dan jannah dan kami berlindung dari kemurkaan-Mu dari panasnya seksa neraka."
Oleh itu, jangan lupa berniat. Jangan lupa bahawa sandarkanlah niat kepada Allah SWT. Mulakanlah sesuatu dengan nama Tuhanmu.

8) Membesarkan
Niat membuatkan sesuatu yang sederhana menjadi besar. Inilah kebaikan yang diperoleh seandainya mukmin itu sering berniat segala sesuatu kerana Allah. Abdullah bin Mubarak pernah berkata, "Berapa banyak amal yang remeh menjadi besar gara-gara niat. Dan berapa banyak amal yang besar menjadi remeh gara-gara niat." Niat yang besar menjadikan hidup seseorang itu lebih besar. "Laa tahkiranna minal ma'ruufi syaian" janganlah kamu meremehkan kebaikan sekecil apapun."

9) Melipatgandakan
Amal biasa apabila dilakukan dengan niat yang besar dan cara yang benar akan dapat dilipatgandakan nilainya. Inilah yang disebut sebagai amal jama'i yakni amal secara berjemaah. Misalnya solat. Apabila solat bersendirian, darjatnya bernilai 1 darjat. Apabila solat ditunaikan secara berjemaah, nilainya dilipatgandakan menjadi 27 darjat.

Sungguh, niat menjadikan fikiran menjadi luas. Menjadikan setiap langkah itu tegar. Hati juga menjadi segar. Justeru, jagalah hati jangan kau nodai, jagalah hati jangan kau kotori, jagalah hati jendela hidup ini. Kerana, dengan niat yang benar dan fikiran yang luas, kekuatan itu dapat disatukan.
Read more... www.tips-fb.com

Thursday, June 17, 2010

Ana titipkan sedikit ilmu yang ana peroleh selepas ana membaca buku berjudul Zero to Hero.

Kunci kejayaan adalah lurusnya persepsi. Apabila persepsi terbentuk dengan pemahaman yang benar, jelas dan menyeluruh, apapun persoalan yang dihadapi akan mudah dipecahkan secara tepat. Imam Syahid Hasan Al Banna menegaskan bahawa fikrah untuk cemerlang ditentukan oleh 3 hal iaitu:
1) Orang-orangnya memiliki persepsi yang jelas tentang fikrah tersebut.
2) Orang-orangnya yakin dengan seyakin-yakinnya dengan kebenaran fikrah tersebut.
3) Apabila hati mereka bersatu padu atas fikrah tersebut.

Sekiranya wujud gambaran yang jelas, keyakinan yang dalam dan cinta yang kuat, maka cemerlanglah fikrah tersebut.

Sebagai muslim, kita yakin dan tiada keraguan bahawa Islam adalah din, agama dan pedoman hidup yang digariskan Allah mencakupi segenap aspek kehidupan untuk seluruh zaman. Jika tidak, pasti agama Islam tidak sesuai pada masa kini. Sebaliknya, islam sentiasa mekar dan kekal dari dulu sehingga sekarang. Jelaslah bahawa Islam tidak pernah pudar ditelan zaman. Ketidakbenaran dan ketidakkeseluruhan akan menyebabkan khurafat, menimbulkan bid'ah, takhayul, tradisi jahiliah dan sebagainya.

Hidup ini umpama menyingkap kabut. Kalau belum melangkah terasa gelap, sesudah melangkah akan tersingkap kegelapan menjadi cahaya. Setiap muslim adalah da'i (pendakwah). Kita semua mempunyai kewajipan untuk berdakwah. hal ini menuntut kita terlebih dahulu untuk memahami apa yang akan disampaikan dengan benar. Islam tidak membiarkan manusia memandang sesuatu secara dangkal, sehingga menyimpan dari landasan sebenar. Al-Quran dan As-Sunnnahlah yang perlu dirujuk kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud " Telah aku tinggalkan dua perkara. Kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah."

Justeru, ubahlah persepsi yang mana untuk berubah itu memerlukan material. Sesungguhnya material itu bukanlah segala-galanya. Allah telah berfirman dalam ayat kesebelas Surah Ar-Rad yang berbunyi " Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. "
Read more... www.tips-fb.com



Muffin takkan menjadi tanpa lengkapnya bahan-bahan dalam adunan. Muffin juga takkan kelihatan menarik jika hangit kerana suhu yang begitu tinggi ketika membakarnya di dalam ketuhar. Muffin juga tak sudi dibeli orang jika tanpa apa-apa hiasan. Nampak kosong kata mereka. Begitu juga dengan kita. Manusia. Khalifah Allah di muka bumi. Dalam kehidupan kita sebagai muslim, pastinya berbagai-bagai ranjau kehidupan ditempuhi. Usia juga mematangkan kita. Sebagai khalifah Allah, apakah kita tidak sedikitpun berasa teruja untuk membaiki diri? Pastinya kita pernah berasa atau ingin melakukan perubahan. Kerana apa? Kerana sudah menjadi fitrah manusia untuk mendapatkan yang terbaik. Walau apa jua keadaan, pastinya manusia itu mahukan kebaikan. Hatta perompak sekalipun inginkan kebaikan yang pada sangkaan mereka ialah kekayaan bagi mereka.

Sama juga seperti muffin. Antara bahan yang diperlukan untuk membuat muffin ialah tepung kek, serbuk penaik, telur, mentega, gula dan sebagainya. Jika kurang sukatan, pasti muffin menjadi cupcake. Apa pula bezanya anta cupcake dan muffin? Cupcake dibuat daripada bahan asas untuk membuat kek manakala muffin ada bahan tambahan yang diperlukan dan muffin seharusnya merekah setelah masak. Apakah kita mahu menjadi muslim yang Islam hanya atas nama dan keturunan? Tidak mahukah kita untuk menjadi yang lebih baik daripada itu? Tidakkah kita mahu menjadi muslim yang sebenar-benar muslim? Selain itu, jika kurang gula pula pastinya muffin berasa tawar. Jika muffin tiada perasa, maknanya muffin tiada nama seperti muffin pandan yang mempunyai rasa pandan, muffin blueberry yang mempunyai rasa blueberry dan muffin coklat yang mempunyai rasa coklat. Malah, muffin tidaklah dikatakan telah siap hanya setelah siap dibakar. Hiasan pula mengambil peranan. Mulalah cip coklat ditabur, kisaran cornflakes ditambah buat meghias muffin. Mahu muffin lebih kelihatan cantik.

Lumrahnya, manusia itu inginkan kebaikan. Inginkan kecantikan. Ingin yang terbaik. Justeru, kita perlu merenung semula diri kita. Apakah kita telah menjadi seperti muffin itu? Jika kurang adunan, ditambah. Sama seperti ilmu. Kita perlu menuntut ilmu. Bukan sekadar tamat sehingga mendapat pekerjaan sahaja. Kerana ilmu takkan pernah habis dituntut. Hakikatnya ilmu amat banyak sekali. Hatta sehingga ke liang lahad sekalipun kita takkan pernah ada istilah 'khatam' menuntut ilmu. Oleh itu, berusahalah melengkapkan diri kita sebaik mungkin. Raihlah apa sahaja peluang menuntut ilmu. Malah, menuntut ilmu amat digalakkan dalam agama Islam. Menuntut ilmu amat besar kepentingannya. Menuntut ilmu juga merupakan jihad kita. Sesungguhnya orang berilmu itu amat disukai Allah. Jika kita mempunyai ilmu, pasti kita lebih mengenal Tuhan kita yakni Allah.

Kembali kepada muffin, setelah muffin masak, ditambah pula hiasan-hiasan tertentu untuk menambah kecantikan dan kesempurnaannya. Begitu juga manusia. Ilmu yang diperolehh tidak wajar dipendam begitu sahaja. Hal ini sedemikian kerana ilmu itu akan mati di situ begitu sahaja jika tidak diamalkan. Manusia itu sememangnya mudah lupa. Sia-sia sahaja menuntut ilmu sekiranya ilmu tersebut akhirnya hilang entah ke mana. Justeru, amalkan ilmu yang diperoleh supaya kita mendapat manfaat bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan untuk memberi kebaikan kepada orang lain sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Semuanya seperti satu rantaian. Jika putus satu bahagian, maka cacatlah yang lain. Tidak berfungsilah rantai tersebut. Justeru, raih peluang menuntut ilmu. Kemuadian, menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan akhir sekali amalkanlah dalam kehidupan.
Read more... www.tips-fb.com

Wednesday, June 16, 2010

Lontaran pandangan mata itu
nun jauh ke sana
Melihat kudup-kudup bunga yang semakin berkembang
Menyerlah warna-warni kegirangan
Seceria mentari yang memayungi bumi
Semegah bangunan kukuh terbina

Pandangan matanya sungguh redup
dan kian redup
Akhirnya kuyu dan basah
Menitis air jernih dari tubir mata
Mengiringi hiba hati
Tatkala mengenang aspirasi hati

Ya..
Itulah aspirasi hati
Aspirasi hati yang selalu mekar di hati
dan akan sentiasa mekar walau waktu bersilih ganti
dan akan sentiasa mekar walau rapuh usia diri
dan akan sentiasa mekar walau rasa dipanggil pergi
dan akan sentiasa mekar walau aku tiada lagi

Aspirasi hati..
akan kupahat dalam memori
ia hadir menggamit sanubari

Duhai aspirasi
Mekar selamanya
Kerna dikaulah aspirasi hati
yang tiada pengganti
Read more... www.tips-fb.com

Kudedikasi secoret nota
buat dia
Duratul Kameena

Kudedikasi secoret nota
buat dia Duratul Kameena
kerna dia nikmat kurniaan Allah padaku
kerna dia nikmat sahatbat yang Allah berikan padaku

Kudedikasi secoret nota
Buat dia Duratul Kameena
kerana dia sahabat sejati
kerana dia selalu memahami

Kededikasi secoret nota
Buat dia Duratul Kameena
kerana dia sering mengerti luapan hati
kerna dia lembut menasihati diri
kerna dia sabar memberi

Sorotan mataku mengiringi dia
kerna kutahu dia
Duratul Kameena yang cekal hati.
Read more... www.tips-fb.com

Bismillahirrahmanirrahim..
Pagi 16 Jun 2010 nampaknya begitu indah pada pandangan tubir mataku. Udara segar masih dapat kuhidu. Getaran jantung masih berdetak seperti biasa. Anggota badan masih boleh digunakan dengan baik. Sungguh, tiada satu pun nikmat milikku yang ada pada tubuhku mahupun di sekelilingku. Semuanya hanyalah nikmat pinjaman Allah yang bersifat sementara untukku yang bergelar hamba-Nya. Perasaanku sedikit bercelaru pagi ini. Ketenangan sedikit terganggu. Ada sesuatu yang berputar ligat dalam fikiranku. Usai menyediakan sarapan pagi, kujengah ke halaman rumah. Kulihat ibu sedang sibuk dengan bunga orkidnya. Begitulah ibu. Masa yang tidak seberapa digunakan sebaiknya sebelum bergegas ke tempat kerja. Hatiku seakan dicuit untuk turut serta. " Menarik juga orkid ni," bisik hatiku. Lantas kusarung selipar dan menuju ke arah ibuku. Kuperhatikan bagaimana ibu menanam orkid di dalam pasu. Mungkin kerana tingkahku yang seakan tertarik hati memerhati gelagatnya, ibu mengajarku bagaimana untuk menanam orkid. Bukan tidak pernah mempelajarinya, tetapi tidak pernah diamal. Itu yang menyebabkan aku terlupa. Begitulah itlmu. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Entah mengapa pagi ini hatiku teruja untuk menanam orkid. Setelah ibu menunjukkan caranya, aku cuba mengaplikasikan ilmu yang baru sahaja aku peroleh. Wah, berjaya! Hatiku menjerit. Mataku melilau mencari pasu kosong. Aku mahu menanam orkid lagi. Sekurang-kurangnya hatiku yang resah tadi dapat kulupakan seketika. Makin tiada kerja yang kulakukan,makin ligat fikiranku memikirkan tentang sesuatu. Aaaaahhh..hati ini juga perlu ditenangkan. Aku melawan rasa hati yang pedih. Akhirnya aku temui beberapa pasu kecil. Tak sabar mahu melihat hasilnya nanti. Sedar tak sedar, 4 jam kuambil untuk 'menyelesaikan' orkid-orkidku ini. Aku tersenyum girang. " Alhamdulillah, hari ini aku berjaya menanam orkid butterfly. Lain kali aku mahu tanam orkid yang lain pula. Mana tau boleh buka nursery bunga nanti." Aku berangan-angan. Wah, lumayan juga. Kususun pasu bunga di halaman rumah. Aku tersenyum lagi. Gembira melihat gubahan susunan pokok bunga orkid di dalam pasu. Ketika ibu balik ke rumah, ibu memujiku. Bertambah lebarlah senyuman di wajah. Bukan apa, rasa selesa pabila dihargai. Mungkin menanam orkid itu tidak seberapa, tetapi cukuplah sekadar menghiburkan hatiku yang sedang resah ini. Alhamdulillah. Syukran, Ya Allah. Kau beri lagi aku kesempatan untuk menghiburkan hati. Kau beri lagi aku peluang mengenali pokok bunga orkid yang juga merupakan salah satu ciptaan-Mu. Kau beri lagi terapi untuk mindaku walaupun sebentar tadi fikiran ini begitu resah, berserabut. Kau beri lagi aku peluang mengukir senyuman di bibir ini. Kau beri lagi aku peluang untuk terus merasai apa itu kehidupan. Subhanallah.
Read more... www.tips-fb.com

Tuesday, June 15, 2010

Menjadi harapan
untukku menyaksikan
umat yang bertuah ini
kembali bersatu hati
buanglah yang keruh
ambillah yang jernih
tiada yang lebih berharga
selain dari perpaduan
lupakanlah segala persengketaan
hubungkan kembali tali persaudaraan
kerna orang beriman itu bersaudara
saling bertolong bantu
berkasih mesra
agar generasi kita di masa hadapan
bangga dengan apa yang kita wariskan

Bait-bait lirik bermain di bibirku. Pentingnya ukhwah dan perpaduan dalam hidup kita sebagai muslim. Masyarakat kini lebih bersifat bersendiri. Mengambil tahu tentang jiran tetangga dikatakan menjaga tepi kain orang. Hakikatnya, perspektif ini harus ditolak ke tepi. Jika kita asyik memikirkan diri sendiri tanpa bersikap prihatin terhadap orang lain, kita tak ubah seperti ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Jika ada perpaduan, pastinya kita dapat merasakan nikmatnya ukhwah itu. Lebih-lebih lagi ukhwah itu terbina kerana Allah. Kita mencintai saudara kita kerana Allah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang berbunyi, " Tidak sempurna iman kamu selagi mana kamu belum mencintai saudaramu seperti mana kamu menyayangi dirimu sendiri." Oleh itu, eratkan ukhwah, tambah kenalan dan nikmatilah nikmat ini dan hargainya dengan sebenar-benar penghargaan.
Read more... www.tips-fb.com

Sunday, June 13, 2010

" Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (At-Taubah:105)

Amal yang dilakukan ibarat air yang menitis berterusan. Dr. Aidh Al Qarni menggambarkan:
"Titisan demi titisan akan menjadi sungai, dirham demi dirham akan menjadi harta, kertas demi kertas akan menjadi buku dan waktu demi waktu yang dilewati akan menjadi umur."

Rasulullah SAW bersabda, "Bersegeralah beramal soleh sebelum datang 7 perkara iaitu akankah engkau menanti selain kekafiran yang melalaikan atau kekayaan yang menyesatkan atau penyakit yang merosak atau umur yang disegerakan atau dajjal perkara ghaib yang ditunggu-tunggu atau kiamat. Padahal kiamat adalah peristiwa dasyat dan mengerikan." (HR Tirmidzi)

Ketahuilah bahawa kelmarin telah tiada. Hari ini sedang terjadi. Hari esok belum pasti. Gunakan kesempatan. Yang masih diberi moga kita takkan menyesal. Masa usia kita jangan disiakan kerana ia takkan kembali. Wallahua'lam.
Read more... www.tips-fb.com

Titipan sedikit ilmu yang ana peroleh daripada buku berjudul Zero to Hero hasil karya Solikhin Abu Izzudin. Buku ini amanah daripada murabbiah kesayangan ana. Dia berpesan supaya ana mengkhatamkan buku ini. Ternyata apa yang dikatakan murabbiah tidak sia-sia. Banyak ilmu yang ana peroleh dan ingin ana kongsikan bersama.

Rasulullah SAW bersabda, " Setiap orang diciptakan menurut bakatnya masing-masing. " Orang lain berbeza dengan kita. Kerana Allah menciptakan manusia berbeza sesuai dengan keunikannya. " Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. " (Al-Hujurat:13)

Percaya atau tidak, ukhwah merupakan salah satu kemanisan nikmat pemberian Ilahi selain daripada nikmat iman dan islam yang dimiliki saat ini. Menerusi pertalian ukhwah, kita akan menerima keunikan orang lain. Caranya? Caranya ialah melalui taaruf (saling mengenal), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling memikul beban). Keunikan itu membuatkan Islam kaya. Ada Abu Bakar yang lembut, Umar yang keras dan tegas, uthman yang pemalu dan Ali yang berani. Mungkin kita sudah faham tetapi belum bagi orang lain. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dua perkara inilah yang menghasilkan keunikan. Oleh itu, hormatilah keunikan orang lain. Sekaligus hal ini akan mendewasakan kita.

Misalnya saat suami isteri diijab kabul. Awalnya tumbuh cinta kerana masing-masing mendambakan kelebihan pasangannya. Cinta kemudiannya berbunga dan tumbuh merekah. namun, hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Terpamerlah kekurangan pasangan masing-masing. Adakah akan kita mengaramkan bahtera yang sedang belayar di tengah lautan? Saat inilah sebenarnya kesedaran, kefahaman dan kesabaran amat diperlukan untuk menerima apa saja kekurangan pasangan dengan seadanya. Bahkan orang berfikiran positif berupaya mengubah kekurangan dan kelemahan untuk mendasyatkan potensi yang ada. Bukan menyalahkan atau menyesali. Kerana di sebalik kelemahan itu tersimpan kekuatan dasyat yang kadangkala terlepas pandang atau tidak disedari.

Hakikatnya, hidup itu unik. Lebih asyik, lebih indah dan lebih bahagia apabila setiap hari kita terusik untuk mencari keunikan-keunikan yang ada dalam diri kita mahupun orang lain seperti sahabat dan ahli keluarga. Positif memandang anugerah. Dwasa melihat realiti. Cerdas menangkap inspirasi. Amanah mengusung aspirasi. Dunia yang begitu luas jangan dipersempit dengan cara yang culas.

Ana ingin menyeru anda semua dan diri ana sendiri untuk belajar mengenali keunikan orang lain. Hal ini bertujuan agar kita lebih bermotivasi, lebih bersemangat dan bersyukur atas anugerah yang melimpah. Hadirkan inspirasi agar jiwa berseri. Umpamanya, ada seorang sahabat sejati yang ana sering jadikan sebagai inspirasi kerana sifat rasionalnya yang tinggi, sikap memahami diri ana, sifat tidak mudah marah apabila ana melakukan kesilapan dan menegur dengan baik serta sifat sabar yang sememangnya ingin ana contohi. Begitu juga dengan rakan sebilik yang ana jadikan contoh kerana sifatnya yang sering ceria walaupun badai melanda. Masih betah tersenyum walaupun menghadapi kesedihan dan sebagainya.

Ada sebuah kisah benar. Seorang ibu kerana jenuh, bosan dan kesal disibukkan dengan kerja rumah tangga yang begitu banyak, dia pergi begitu sahaja menaiki bas untuk pulang ke kampung halamannya. Dalam perjalanan, ibu ini menjumpai pelbagai ragam sikap manusia. Ibu membandingkan semua yang diperhatikannya dengan keluarganya selama ini. Maka dia pun bersyukur dan ternyata apa yang dihadapinya setiap hari belumlah seberapa. Masih lebih ringan jika dibandingkan dengan pemerhatiannya.

Bentuklah diri kita begitu, bangunkan keperibadian kita, lapisi jiwa kita, miliki keunikan dan hormat terhadap keunikan orang lain. Rasulullah pernah bersabda, " Seorang mukmin yang bergaul dengan banyak orang, lalu ia sabar dengan tindakan mereka yang menyakitkan, maka itu lebih baik daripada orang yang tidak pernah bergaul dengan orang banyak dan ia tidak mampu sabar dengan tindakan mereka yang menyakitkan." (HR Ahmad)

Walaupun dicaci oleh orang lain, tetapi masih tetap boleh bersabar dan mengatakan, " Kalau apa yang kamu katakan tentang diriku benar, semoga Allah mengampuniku. kalau apa yang kamu tuduhkan itu salah, semoga Allah mengampunimu dan merahmatimu." Itulah sikap dan nasihat salafus soleh, hormat terhadap keunikan orang lain dan mudah memaafkan kesalahan.

Apabila akidah, ibadah, akhlak dan keluarga diintegrasikan dalam sikap yang tepat, terbentuklah keperibadian muslim minimum. Yakni kesolehan peringkat dasar yang seharusnya ada. Kerana pahlwan berjaya harus mampu mengalahkan dirinya sebelum berjuang mengalahkan orang lain. " Seorang mujahid adalah orang yang berjuang melawan hawa nafsunya." Inilah perjuangan minimum yang menapak di tangga perjuangan membaiki diri.
Read more... www.tips-fb.com

Friday, June 11, 2010


Bersyukurlah atas segala nikmat yang telah diberi Allah kepada kita. Berlapang dadalah menerima apa jua nikmat Allah sama ada nikmat itu dalam bentuk kegembiraan, kesedihan, kesakitan, kesihatan, kelaparan dan berbagai-bagai nikmat lain.
Read more... www.tips-fb.com


1) Aqidah yang Sejahtera (Salimul Aqidah)

Kalau kita gambarkan Islam itu sebagai pokok, aqidah itu adalah pada akarnya. Akar yang kukuh menghasilkan pokok yang kukuh kuat dan tak akan tergugat walaupun ditiup angin yang sangat kencang. Maka kalau kita mempunyai kekuatan aqidah yang mantap dan sukar digugat, secara tak langsung meningkatkan keyakinan kita terhadap Allah dan Rasul-Nya.

2) Ibadah yang benar (Shahihul Ibadah)

Ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah wajib dan ibadah sunat. Ibadah yang wajib itu dah pasti kena buat. Tapi untuk melengkapi apa yang dikatakan dengan shahihul ibadah, kita tak sekadar menunaikan yang wajib saja tapi kita mampu beristiqamah dalam melaksanakan ibadah yang sunat itu. Tapi tak laa sampai melampau-lampau dalam beribadah sampai buat perkara yang Nabi sendiri tak buat. Kita perlu tahu yang mana satu dikatakan ibadah dan yang mana satu adat & mampu menentukan apa yang bid'ah dan apa yang tidak. Dengan itu, dapatlah kita kecapi shahihul ibadah.

3) Kuat Tubuh Badan (Qawiyyul Jism)

Kekuatan tubuh badan sangat penting untuk setiap Muslim. Andai kita tidak mempunyai kekuatan tubuh badan jangankan nak pergi berperang, nak solat pun susah sebab tubuh badan kita tak kuat. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."

4) Akhlaq yang mantap (Matinul Khuluq)

Untuk mencapai akhlaq yang mantap tak lain tak bukan kita perlu mencontohi role-model terhebat kita iaitu Rasulullah saw yang mana akhlaq baginda adalah Al-Quran. Jadi menjadi satu keperluan kepada setiap Muslim untuk berusaha menjadi lebih baik dari hari ke hari. Malah akhlaq yang baik itu akan dipandang bukan sahaja oleh orang Islam malah orang bukan Islam dan ini boleh jadi satu dakwah kepada mereka dengan menunjukkan Islam itu sememangnya satu cara hidup yang sempurna.

5) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqaful Fiqr)

Seorang muslim perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Banna:

"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."
Jadi lesulah kita kalau kita tak mampu nak menguasai ilmu dan isu semasa. Buktinya, tengok saja umat Islam sekarang. Tak payah jauh pun takpe, kita tengok orang Melayu Islam adakah budaya ilmu itu hebat dalam kalangan kita sendiri? Ataupun adakah kita ini menuntut ilmu sekadar terima saja apa yang diberi tanpa menilai apa yang baik dan apa yang tidak. Kita hanya menerima saja ilmu-ilmu yang ada seperti riba' lalu kita praktikkan perkara itu dalam kehidupan kita sedangkan kita tahu riba' itu haram dalam Islam.

6) Mampu berusaha (Qadiran 'Ala Kasbi)

Seorang muslim walaupun kaya, perlu bekerja. Tak perlu bagi kita nak terlalu mengejar jawatan dalam organisasi atau kerajaan. Adakalanya meletakkan jawatan dan menumpukan tumpuan kita dalam gerak kerja Islam itu lebih utama dari gaji kita. Tapi perlulah setiap pekerjaan itu dilaksanakan dengan keikhlasan dan ihsan. Kerja-kerja itu juga perlu dilaksanakan dengan betul. Dalam soal pemakanan pula, memilih dalam mencari makanan yang betul-betul diyakini halal. Andai statusnya diragui terus tak beli atas dasar nak memelihara diri kita dari makan perkara-perkara yang haram yang akan memberi mudarat yang lebih besar di masa hadapan.

7) Mampu melawan nafsu (Mujahadatul 'Ala Nafsi)

Seorang muslim perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

8) Menjaga Waktu (Haarithun 'Ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

9) Tersusun dalam urusan (Munazzamul Fi Syu'unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10) Berguna/Bermanfaat untuk orang lain (Naafi'un Lighairih)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Read more... www.tips-fb.com

Thursday, June 10, 2010

Iman bukan diwarisi daripada sesiapa. Tetapi, individu itu sendirilah yang bertanggungjawab terhadap imannya. Tidak dinafikan, iman manusia itu ibarat graf yang turun naik. namun, berjuanglah! Berjuanglah untuk menjaga iman. Kita perlu sentiasa refresh dan upgrade iman kita.
Read more... www.tips-fb.com

Rasulullah menggambarkan dunia dalam berbagai hadith. Antaranya:

Dunia adalah setitik air di tengah lautan
Al Mustaurid bin Syaddad ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, " Tiadalah perbandingan dunia ini dengan akhirat, kecuali seperti seorang yang memasukkan jarinya ke dalam lautan luas maka perhatikanlah yang tersisa."


Dunia lebih hina dari bangkai kambing
Daripada Jabir ra, Rasulullah SAW bersabda, " Deemi Allah, sungguh dunia ini lebih hina dalam pandangan Allah daripada bangkai kambing dan cacat ini dalam pandangan kalian."


Dunia adalah penjara mukmin dan syurga bagi orang kafir
Daripada Abu Hurairah ra, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, ' Dunia adalah penjara bagi orang-orang mukmin dan sebagai syurga bagi orang kafir."


Dunia ibarat sayap nyamuk
Sahl bin Sa'ad As Sa'idy ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, " Andaikan dunia ini bernilai di sisi Allah sebesar sayap nyamuk, nescaya tidak akan diberikannya kepada orang kafir meski hanya seteguk air."


Dunia ini terlaknat kecuali zikrullah
Daripada Abu Hurairah ra, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, " Ketahuilah bahawa dunia terkutuk dan semua yang ada di dalamnya terlaknat, kecuali zikrullah dan segala apa yang serupa atau sedarjat dengan itu dan orang alim yang mengerti serta orang yang mempelajari."


Hiduplah di dunia laksana musafir
Ibnu Umar ra berkata, Rasulullah SAW memegang bahuku sambil berkata, " Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing atau orang yang dalam perjalanan." Ibnu Umar sendiri berkata, " Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah mengharapkan akan hidup sampai pagi. Dan jika kamu pada waktu pagi janganlah menantikan petang. Pergunakanlah masa sihat itu untuk bekal masa sakit dan masa hidup untuk bekal kematian."


Zuhudlah terhadap dunia
Daripada Abul Abbas Sahl bin Sa'ad As-Sa'idy ra yang berkata, Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, "Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amal yang jika aku lakukan maka aku dicintai oleh Allah dan manusia." Nabi SAW menjawab, " Zuhudlah terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu dan zuhudlah terhadap sesuatu yang dimiliki orang lain, nescaya setiap orang cinta kepadamu."


Menatap orang yang berda di bawahnya
Daripada Abu Hurairah ra ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, " Lihatlah orang yang lebih menderita yang berada di bawahmu dan jangnlah melihat orang yang ada di atasmu, kerana demikian itu lebih tepat supaya orang tidak meremehkan nikmat kurnia Allah kepadamu."

Read more... www.tips-fb.com

Abu Thalib Al Makky berkata, " Aku mengumpulkan perkataan para sahabat dan aku mendapati begitu banuak dosa anggota badan.

Empat dosa hati: syirik, bertahan dalam maksiat, putus asa dari rahmat Allah dan berasa aman dari murka Allah.

Empat dosa lidah: kesaksian dusta, menuduh muslimah yang baik, sumpah palsu dan sihir.

Tiga dosa dalam perut: minum minuman keras, memakan harta anak yatim dan makan riba.

Dua dosa kemaluan: zina dan homoseksual/lesbian.

Dua dosa tangan: membunuh dan mencuri.

Satu dosa di kaki: lari dari medan pertempuran.

Satu dosa di seluruh anggota badan: derhaka kepada kedua orang tua.
Read more... www.tips-fb.com

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan
Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa, dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita, dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan


Read more... www.tips-fb.com

Maghrib ini, hujan turun renyai-renyai. Sang katak ketawa kegirangan. Ayam ternakan berdedai-dedai pulang ke reban. Ikan ketutu masih betah berenang dalam besen di tepi rumah. Dan aku menggigil dalam selimut di kamar tidur.

Maghrib ini, kuperhatikan satu persatu. Setiap ciptaan Ilahi ada saja keunikan tersendiri. Jika tidak, masakan sang katak tak demam bermain hujan, masakan ayam ternakan menghindari nikmatnya tidur di reban, masakan ikan ketutu tersedak ketika berenang dan masakan aku tidak tahan sejuk walaupun sedikit..justeru apa gunanya bulu roma di seluruh tubuh??

Maghrib ini, aku merafakkan lafaz syukur pada-Nya. Kerana DIA menjadikan aku sebagai manusia. Sebaik-baik kejadian. Manusia yang mempunyai akal. Agar bijak mengatur tanggungjawab. Kerana aku ialah khalifah Allah di muka bumi.
Read more... www.tips-fb.com

Saat ini,
perit tekak begitu begitu terasa,
tubir mata tak mampu menakung air jernih,
bibir mulus tak mampu mengungkap kata,
hati bisu sakit menderita.

Saat ini,
diri diam termangu kaku,
nafas dihela satu persatu,
adakalanya tersekat, bagai mengerti keadaan ini,
pasrah bersandar pada dinding kecewa,
tak mampu mengubah takdir tercipta.

Saat ini,
kalbu ingin benar menjerit,
Daku sayang padamu wahai sahabat!!
kerna tak kutemui dirimu dalam timbunan pasiran pantai,
kerna tak kutemui dirimu walau kusingkap tirai malam pekat,
kerna tak kutemui dirimu walau kugali lapisan kerak bumi.

Saat ini, kupujuk hati nurani,
agar betah meneruskan hidup,
walau tanpa dirimu di sisi,
ku yakini hikmah di sebalik perpisahan menduga.

Saat ini,
kutitp doa dari jauh,
buatmu yang bernama sahabat sejati.
Read more... www.tips-fb.com

Monday, June 7, 2010

Aku sakit lagi. Cecair jernih mengalir deras dari tubir mata turun ke pipi. Hangat terasa di wajah. Peristiwa silam menyentak hati dan mata yang baru saja terpejam. Puas melawan rintihan hati. Badan dikalih ke kanan dan kiri. Namun tak menjadi jua. Akhirnya mata tak mampu menipu lagi. Kolam mata sarat menakung air duka. Pecah. Basah. Nanah derita yang ditanggung bertahun-tahun masih tak bisa menjauh pergi, sebaliknya makin kerap bertandang menjengah diri. Kesakitan cuba dibentengi agar tak rapuh tugu kekuatan. Usai mengesat si air mata, langkah kuatur menuju kamar mandi. Mengambil wudhuk,kuratakan air ke anggota badan tertentu. Kucapai terjemahan kalam Tuhan. Kudakap erat dekat di dada. Moga tenang menghela nafas bersalut duka derita. Kalimah istighfar meniti di bibir. Cuba melarik minda menerima takdir hakiki. Masa kian berganti. Ketenangan makin diraih saat malam memuntahkan kepekatannya. Alhamdulillah, gelora hati beransur menjadi lautan tenang membelah pantai. Kegetiran kian pudar dimamah sepi. Allah sentiasa ada bersama hamba-Nya. Syukran, Ya Allah. Kau beri lagi ketengan di hati ini.
Read more... www.tips-fb.com

Saturday, June 5, 2010

" Jadilah kalian orang-orang yang..

Atsbatuhum mauqiifan..
yang paling kukuh sikapnya..

Arhabuhum shadran
yang paling lapang dadanya..

A'maquhum fikran
yang paling dalam pemikirannya..

Ausa'uhum nazharan
yang paling luas cara pandangannya..

Ansyatuhum 'amalan
yang paling rajin amal-amalnya..

Aslabuhum tanzhiman
yang paling solid penataan organisasinya..

Aktsaruhum naf'an
yang paling banyak manfaatnya."
Read more... www.tips-fb.com