Blogger Templates

Followers

Thursday, June 17, 2010



Muffin takkan menjadi tanpa lengkapnya bahan-bahan dalam adunan. Muffin juga takkan kelihatan menarik jika hangit kerana suhu yang begitu tinggi ketika membakarnya di dalam ketuhar. Muffin juga tak sudi dibeli orang jika tanpa apa-apa hiasan. Nampak kosong kata mereka. Begitu juga dengan kita. Manusia. Khalifah Allah di muka bumi. Dalam kehidupan kita sebagai muslim, pastinya berbagai-bagai ranjau kehidupan ditempuhi. Usia juga mematangkan kita. Sebagai khalifah Allah, apakah kita tidak sedikitpun berasa teruja untuk membaiki diri? Pastinya kita pernah berasa atau ingin melakukan perubahan. Kerana apa? Kerana sudah menjadi fitrah manusia untuk mendapatkan yang terbaik. Walau apa jua keadaan, pastinya manusia itu mahukan kebaikan. Hatta perompak sekalipun inginkan kebaikan yang pada sangkaan mereka ialah kekayaan bagi mereka.

Sama juga seperti muffin. Antara bahan yang diperlukan untuk membuat muffin ialah tepung kek, serbuk penaik, telur, mentega, gula dan sebagainya. Jika kurang sukatan, pasti muffin menjadi cupcake. Apa pula bezanya anta cupcake dan muffin? Cupcake dibuat daripada bahan asas untuk membuat kek manakala muffin ada bahan tambahan yang diperlukan dan muffin seharusnya merekah setelah masak. Apakah kita mahu menjadi muslim yang Islam hanya atas nama dan keturunan? Tidak mahukah kita untuk menjadi yang lebih baik daripada itu? Tidakkah kita mahu menjadi muslim yang sebenar-benar muslim? Selain itu, jika kurang gula pula pastinya muffin berasa tawar. Jika muffin tiada perasa, maknanya muffin tiada nama seperti muffin pandan yang mempunyai rasa pandan, muffin blueberry yang mempunyai rasa blueberry dan muffin coklat yang mempunyai rasa coklat. Malah, muffin tidaklah dikatakan telah siap hanya setelah siap dibakar. Hiasan pula mengambil peranan. Mulalah cip coklat ditabur, kisaran cornflakes ditambah buat meghias muffin. Mahu muffin lebih kelihatan cantik.

Lumrahnya, manusia itu inginkan kebaikan. Inginkan kecantikan. Ingin yang terbaik. Justeru, kita perlu merenung semula diri kita. Apakah kita telah menjadi seperti muffin itu? Jika kurang adunan, ditambah. Sama seperti ilmu. Kita perlu menuntut ilmu. Bukan sekadar tamat sehingga mendapat pekerjaan sahaja. Kerana ilmu takkan pernah habis dituntut. Hakikatnya ilmu amat banyak sekali. Hatta sehingga ke liang lahad sekalipun kita takkan pernah ada istilah 'khatam' menuntut ilmu. Oleh itu, berusahalah melengkapkan diri kita sebaik mungkin. Raihlah apa sahaja peluang menuntut ilmu. Malah, menuntut ilmu amat digalakkan dalam agama Islam. Menuntut ilmu amat besar kepentingannya. Menuntut ilmu juga merupakan jihad kita. Sesungguhnya orang berilmu itu amat disukai Allah. Jika kita mempunyai ilmu, pasti kita lebih mengenal Tuhan kita yakni Allah.

Kembali kepada muffin, setelah muffin masak, ditambah pula hiasan-hiasan tertentu untuk menambah kecantikan dan kesempurnaannya. Begitu juga manusia. Ilmu yang diperolehh tidak wajar dipendam begitu sahaja. Hal ini sedemikian kerana ilmu itu akan mati di situ begitu sahaja jika tidak diamalkan. Manusia itu sememangnya mudah lupa. Sia-sia sahaja menuntut ilmu sekiranya ilmu tersebut akhirnya hilang entah ke mana. Justeru, amalkan ilmu yang diperoleh supaya kita mendapat manfaat bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan untuk memberi kebaikan kepada orang lain sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Semuanya seperti satu rantaian. Jika putus satu bahagian, maka cacatlah yang lain. Tidak berfungsilah rantai tersebut. Justeru, raih peluang menuntut ilmu. Kemuadian, menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan akhir sekali amalkanlah dalam kehidupan.

www.tips-fb.com

1 comment:

ukhti hana said...

Muffin sebagai analogi. boleh juga dianalogi dengan perkara atau objek lain. Apapun yang penting, kita dapat mengambil ibrah (pengajaran) daripada apa yang disampaikan. Asif (maaf) jika ada kekurangan. Ana insan yang baru memulakan larikan pena di dalam penulisan.